Lionel Messi menegaskan Barcelona tidak bergantung kepadanya di sebalik menjaringkan gol penting dalam kemenangan 2-0 ke atas Celtic dalam aksi Liga Juara-Juara, semalam.

Messi membuka tirai gol perlawanan apabila menyudahkan umpanan Neymar sebelum menyempurnakan sepakan penalti untuk melengkapkan kemenangan dan mengesahkan kedudukan pasukan di puncak Kumpulan C.

Dua gol yang dihasilkan penyerang itu menambah koleksi jaringannya musim ini bersama Barcelona kepada 18 gol.

Bagaimanapun, dia enggan dianggap sebagai nadi kepada pasukan bimbingan Luis Enrique.

"Saya tidak menganggap apa yang diperkatakan mengenai Barca terlalu bergantung kepada Messi merupakan satu pujian atau kebimbangan kerana itu tidak benar," kata Messi dalam satu majlis promosi bersama Adidas.

"Saya berada dalam pasukan terbaik di dunia, Barca tidak bergantung kepada hanya seorang pemain."

Messi tidak melayani sebarang soalan mengenai masa depannya ketika dia di ambang menandatangani kontrak baru bersama Barcelona.

Dia sedar pasukannya akan berdepan tugas getir hujung minggu ini dalam pertemuan LaLiga dengan Real Sociedad, di mana mereka gagal meraih kemenangan sejak 2007.

"Anoeta adalah sebuah stadium yang rumit di mana kami sudah lama tidak mengecapi kemenangan," katanya.

Socieded tidak pernah memberi laluan mudah kepada kami di sana dan ia perlawanan yang sukar.

"Dalam bola sepak hari ini, adalah penting berada dalam keadaan teratur. Mempunyai sebuah pasukan yang teratur adalah perkara paling penting.

"Untuk membentuk sebuah pasukan yang bagus, semua pemain bintang perlu ada asas itu."

Barcelona ketika ini ketinggalan empat mata di belakang Real Madrid yang sedang menerajui saingan LaLiga.