Ketua jurulatih Brazil, Tite, berkata beliau telah diminta untuk senyap oleh kapten Argentina, Lionel Messi, dalam aksi persahabatan di antara dua seteru Amerika Selatan itu.

Messi kembali beraksi daripada penggantungan selama tiga bulan untuk memimpin kemenangan 1-0 Argentina ke atas Brazil hasil jaringannya di Riyadh awal pagi tadi.

Bintang Argentina itu kembali selepas empat perlawanan ekoran penggantungan kerana mendakwa Persekutuan Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) memihak tuan rumah, Brazil -- yang memenangi aksi separuh akhir Copa America dan sekali lagi kekecohan ketika berdepan The Selecao itu.

Messi dan Tite saling bertukar kata dalam separuh masa pertama, dengan bintang Barcelona itu kelihatan membuat isyarat supaya diam ke arah Tite ketika pengendali Brazil itu mengadu kepada pengadil.

"Saya mengadu kerana Messi seharusnya dilayangkan kad kuning, kemudian dia meminta saya untuk senyap, jadi saya memberitahu kepadanya supaya diam. Itu sahaja," kata Tite.

Tite berkata lagi, "Saya tidak mahu menjawab mengenai hal ini. Anda memerlukan pengadil yang kuat kerana mereka akan menelan anda… Kad seharusnya diberikan dan saya berhak mengadu."

Jaringan Messi terus merundung Brazil -- yang bergelut untuk kemenangan sejak menjuarai Copa America, Julai lalu.