Lionel Messi dikatakan sudah memaklumkan kepada Barcelona bahawa dia mahu meninggalkan pasukan itu, demikian laporan yang kini sedang bertebaran mengenai pemain berkenaan.

Kapten Barca itu, yang kontraknya akan tamat pada Jun 2021, dikatakan mempunyai klausa dalam kesepakatannya untuk membenarkannya meninggalkan pasukan itu secara perpindahan percuma pada penghujung musim ini.

Klausa itu sepatutnya diaktifkan pada Mei lalu tetapi disebabkan saingan musim ini telah ditunda sehingga bulan ini disebabkan pandemik koronavirus, media Argentina, TyC Sports, mendakwa pemenang enam kali anugerah Ballon d'Or itu telah memaklumkan pasukan gergasi Catalan berkenaan bahawa dia masih mahu menggunakannya.

Messi pada minggu lalu dilaporkan mengadakan perbincangan dengan ketua jurulatih, Ronald Koeman, yang menggantikan Quique Setien selepas Barca diaibkan dengan kekalahan 8-2 oleh Bayern Munich dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Pemain berusia 33 tahun itu dikatakan sudah memberitahu Koeman mengenai pemergiannya dari Camp Nou dan dia kelihatan komited dengan keputusan itu selepas rakan baiknya, Luis Suarez, diberitahu bahawa mereka tidak lagi diperlukan di kelab itu.

Memberikan respons kepada berita itu, bekas kapten Barca, Carles Puyol, menciap dalam Twitter: "Hormat dan kagum, Leo. Anda mempunyai seluruh sokongan daripada saya sahabat."

Selepas menghabiskan seluruh karier profesionalnya di Barca, Messi dikaitkan untuk kembali ke pangkuan kelab Argentina, Newell's Old Boys, di kampung halamannya di Rosario.

Kembali bergandingan dengan Pep Guardiola di Manchester City turut menjadi perbualan ramai manakala Inter Milan menjadi pasukan yang sudah lama berminat untuk mendapatkannya.

Menurut TyC Sports, perpindahannya ke kelab Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) juga boleh berlaku.

Messi merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Barca dengan merekodkan 634 gol dan 276 bantuan jaringan daripada 731 penampilan dalam kesemua kejohanan bersama kelab itu.

Pemain kebangsaan Argentina itu melakukan penampilan pertamanya ketika berusia 17 tahun pada 2004 dan memenangi 34 trofi sepanjang di Camp Nou.