Lionel Messi dan Luis Suarez sudah bersedia untuk dipertaruhkan Barcelona ketika bertemu Real Mallorca, menurut pengurus, Quique Setien.

Barca kembali menyambung kempen LaLiga apabila bertandang ke Son Moix awal pagi esok selepas terpaksa berehat akibat COVID-19 manakala kemenangan ke atas lawan yang diancam penyingkiran itu akan mengukuhkan kedudukan mereka di puncak.

Juara bertahan di Sepanyol itu mendahului seteru rapat, Real Madrid, yang akan beraksi awal pagi Isnin ini menjadi tuan rumah kepada Eibar di ibu negara.

Kecergasan Messi menjadi perhatian utama menjelang aksi hujung minggu -- penyerang itu berdepan kecederaan paha -- tetapi situasinya dijangka pulih apabila kembali berlatih bersama rakan sepasukan pada awal minggu ini.

"Dia sudah bersedia untuk dipertaruhkan, keadaannya baik-baik saja. Dia nerlatih dengan baik, tiada masalah," kata Setien dalam sidang media pra-perlawanan.

"Messi dan barisan pemain ini tahu bagaimana untuk mengukur sesuatu dan menyimpan kekuatan apabila perlu.

"Selepas berehat lama, kita akan lihat kelak. Bagi beberapa pemain, semakin banyak masa mereka di lapangan, sentuhan menjadi semakin baik."






Bagi Suarez pula, penyerang itu hampir terlepas kehilangan sisa kempen musim 2019-20 ekoran ditimpa kecederaan lutut sebelum wabak COVID-19 melanda.

Oleh kerana jadual domestik musim ini terpaksa dirombak termasuk Liga Juara-Juara (UCL), pemain antarabangsa Uruguay itu berpeluang untuk kembali cergas.

Begitupun, Setien tetap mengambil pendekatan berwaspada selepas anak buahnya itu terpaksa berehat lama, ini beerti Suarez hanya akan menggalas tanggungjawab kecil ketika menghadapi Mallorca.

"Sudah tentunya dia akan berada dalam barisan utama tetapi dia tidak akan beraksi sepanjang 90 minit," tambahnya.

"Kami tidak akan mengambil risiko itu selepas dia berehat selama lima bulan. Bagus baginya untuk peluang beraksi dan dia akan memerlukan perlawanan untuk mendapatkan sentuhannya."

Suarez telah menyumbang 14 gol musim ini tetapi tersisih sejak 9 Januari lalu.