Lionel Messi mengakui dia kini perlu mengambil langkah "lebih berwaspada" bagi memastikan tahap fizikalnya dalam keadaan terbaik ketika menuju penghujung kariernya.

Masalah betis dan otot paha telah menghalang bintang Barcelona itu dalam kempen awal musim ini sehingga mengehadkan penglibatan dan impaknya bersama pasukan kendalian Ernesto Valverde itu.

Pada usia 32 tahun, Messi sedar bahawa dia tidak lagi boleh mendesak fizikalnya ke tahap yang sama seperti 10 tahun lalu.

Justeru, dia bertekad untuk mengekalkan tenaga dan kekuatannya sambil menyedari keperluan untuk beraksi di tahap terbaik sepanjang masa tetapi dia tidak akan mengambil risiko berdepan kecederaan atau keletihan.

"Ia sukar kerana dalam minda, keadaan anda baik-baik saja: anda fikir masih berusia 25 tahun dan boleh terus melakukan perkara yang sama seperti dahulu," katanya kepada Marca.

"Namun, saya perlu lebih berhati-hati dengan keadaan tubuh dan beberapa perkara lain berbanding sebelum ini. Untuk menyesuaikan diri dengannya, saya memerlukan proses dan persediaan yang berbeza dalam menjalani latihan dan perlawanan."

Tambahnya: "Saya sedar setakat mana saya boleh teruskan (karier). Saya mula berasakannya dari semasa ke semasa. Saya akan menjadi orang pertama untuk mengatakan, 'saya telah melalui sejauh ini dan saya tidak dapat melakukannya lagi atau saya berasa baik untuk meneruskannya."

Ketua pasukan Argentina itu menghampiri 700 gol dalam kariernya dengan pemain yang sering membayanginya, Cristiano Ronaldo, sudah mencapainya minggu ini.

Begitupun, pencapaiannya jauh mengatasi mana-mana pemain yang pernah mewakili Barcelona berbekalkan rekod 604 jaringan yang hampir mustahil dipecahkan, maka mengehadkan kemampuan penyudahnya boleh dilihat sebagai langkah negatif.

Messi turut ditanya sama ada dia mungkin akan kembali memainkan peranan di bahagian tengah.

Ini kerana dia diberikan peranan untuk berkeliaran dengan status nombor 10 di Barcelona yang menyaksikannya muncul sebagai penjaring terbanyak LaLiga musim lalu untuk meraih Anugerah Kasut Emas Eropah buat kali keenam kelmarin.

Katanya: "Saya tidak tahu, ia bergantung kepada bagaimana ia berlaku.

"Ketika ini, biasanya saya akan turun ke bawah sedikit untuk mengutip bola dan lebih banyak memegang bola di bahagian tengah. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan."