ECUADOR 1 ARGENTINA 3

Lionel Messi membuktikan dia adalah penyelamat buat Argentina apabila melakar hatrik dalam kemenangan 3-1 ke atas Ecuador sebentar tadi untuk menjamin kemaraan ke Russia 2018.


Bekas juara dua kali itu berdepan kemungkinan tercicir daripada pusingan akhir temasya itu sejak 1970 apabila menduduki tangga keenam pusingan kelayakan berikutan tiga rentetan keputusan seri baru-baru ini.

Justeru, mereka terdesak untuk meraih kemenangan bagi memastikan kemaraan.

Seperti ketika seri dengan Peru di Buenos Aires, bintang Juventus, Paulo Dybala, dan kapten Inter Milan, Mauro Icardi, ditinggalkan di bangku simpanan.

Jorge Sampaoli melakukan dua pertukaran dengan membawa masuk Eduardo Salvio and Enzo Perez untuk menggantikan Alejandro Gomez dan Ever Banega dalam kesebelasan utama.

Ecuador terpaksa beraksi tanpa tonggak Manchester United, Antonio Valencia, dan Michael Arroyo akibat penggantungan ketika tewas 2-1 kepada Chile.

Mimpi ngeri itu hampir menjadi kenyataan apabila Ecuador terlebih dahulu memecah kebuntuan perlawanan, hanya 38 saat selepas sepak mula -- rekod gol terpantas dibolosi Argentina -- menerusi sentuhan pemusnah Romario Ibarra dalam altitud tinggi di Quito.

Namun, Argentina bangkit dengan ketua pasukan dan pemenang lima kali Ballon d'Or, Messi, memainkan watak penting untuk negara itu mengesahkan tiket ke Russia tahun depan, apabila menjadi pemain pertama yang meledak 20 gol dalam pusingan kelayakan zon Amerika Selatan.

Messi mempamerkan bisanya pada minit ke-12 apabila bergabung dengan Angel Di Maria untuk jaringan penyamaan.

Sembilan minit kemudian, usahanya membolehkan Argentina memimpin permainan sebelum dia mengukuhkan kedudukan menerusi penyudah licik selepas sejam permainan berlangsung.