Lionel Messi menyekat Antoine Griezmann untuk menyerlahkan diri bersama Barcelona ketika pemain kebangsaan Perancis itu terus dibayangi oleh kapten pasukan itu, kata Arsene Wenger.

Griezmann tiba daripada pasukan seteru LaLiga, Atletico Madrid, dengan perpindahan blokbuster €120 juta (RM589.6 juta) tahun lalu tetapi bergelut untuk membuktikan keupayaannya di samping Messi di Camp Nou.

Dia menjadi pemain simpanan yang tidak diturunkan ketika Barca menewaskan Ferencvaros 5-1 dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) semalam selepas gagal menjaringkan gol dalam empat penampilan LaLiga musim ini --- hanya menghasilkan satu percubaan tepat dan gagal mencipta sebarang peluang.

Ketika Messi hanya menjaringkan satu gol dalam saingan liga, pemenang enam kali anugerah Ballon d'Or itu telah merekodkan tujuh percubaan tepat dan mencipta enam peluang buat rakan sepasukannya.

Bekas pengurus Arsenal, Wenger, percaya Griezmann masih dibayangi Messi dalam perebutan posisi tengah menyerang yang digemarinya.

⚽️ Always Messi!? ✅ First Champions League goal 2020-21

A post shared by FC Barcelona (@fcbarcelona) on


"Tidak dapat bermain di posisi asal akan menjadi rumit untuk tempoh panjang," kata Wenger kepada beIN SPORTS.

"Pada mulanya, pemain itu akan menerimanya tetapi jika dia tidak dapat keperluannya untuk tempoh yang panjang, dia akan berasakan posisinya tidak membenarkan dirinya untuk mempamerkan kualiti, dia akan menjadi tidak bersemangat.

"Hari ini, dia menjadi pemain yang perlu bermain di posisi tengah kerana kerajinannya sebelum ini, berdasarkan ketepatan hantarannya.

"Dia boleh menjadi berbahaya ketika melakukan hantaran terakhir dan ketika menjaringkan gol tetapi terdapat sekatan kerana dia perlu bermain dengan Messi," katanya.