Lionel Messi mengakui pernah terlintas untuk meninggalkan Barcelona dan keluar dari Sepanyol selepas pihak berkuasa menyiasatnya berhubung tuduhan penipuan cukai.

Bintang Argentina itu dan bapanya didapati bersalah oleh mahkamah Catalonia kerana mengelak cukai atas pendapatan yang diperoleh daripada hak-hak imejnya pada 2016 sehingga dijatuhi hukuman penjara 21 bulan, namun hukuman tersebut ditukar kepada bentuk denda, setahun kemudian.

Messi mendedahkan bahawa dia berasa begitu "teraniaya" ketika penyiasatan itu sehingga mendorongnya untuk meninggalkan Barcelona supaya dia dapat keluar dari negara itu, tetapi berpendapat kelab-kelab lain pasti tidak akan membuat tawaran rasmi kerana mereka tahu hatinya hanya mahu mewakili sebuah kelab sahaja.

"Pada 2012, 2013 dan 2014, saya mengharungi tempoh yang sukar," katanya kepada RAC1.

"Ya, masalah dengan Hacienda (agensi cukai Sepanyol), meletakkan saya dan keluarga dalam keadaan yang amat sukar kerana orang ramai tidak tahu apa yang berlaku, mereka hanya mendengar lalu mereka memberi pendapat. Malah, begitu juga media.

"Saya fikir saya adalah (pemain bola sepak pertama yang disiasat oleh Hacienda) dan oleh kerana itu semuanya menjadi sangat sukar. Anak-anak saya pula masih kecil.

"Pada masa itu, saya benar-benar terlintas untuk pergi, bukan kerana saya mahu meninggalkan Barca, sebaliknya mahu meninggalkan Sepanyol kerana saya berasa tidak dilayan dengan adil dan saya tidak mahu berada di sini.

"Saya membiarkan pintu terbuka tetapi tawaran rasmi tidak pernah wujud kerana semua orang tahu keinginan sebenar saya tetapi perkara yang berlaku menjangkaui sempadan perasaan saya terhadap Barca."

Masa depan ketua pasukan itu kembali menjadi topik hangat bulan lalu selepas dia memberitahu Sport bahawa walaupun dia tidak ingin meninggalkan Camp Nou, dia mahu menjadi sebahagian daripada "pasukan juara".

Kata-kata pemain berusia 32 tahun itu dirujuk kepada kekecewaannya dalam Liga Juara-Juara (UCL) kebelakangan ini, dengan kemenangan terakhir Barca adalah pada 2015 tatkala dua kempen terakhir mereka berakhir dengan kekalahan memalukan kepada Roma dan Liverpool.

Bagaimanapun, Messi menyatakan dengan jelas bahawa dia mahu menamatkan kerjayanya di Barcelona, malah mungkin sanggup mengetepikan peluang kembali ke kelab pada zaman kanak-kanaknya, Newell's Old Boys, di Argentina kerana enggan berjauhan dengan keluarganya.

"Kami bergelut dalam permulaan musim ini tetapi kami mempunyai skuad yang bagus dengan pemain-pemain hebat dan mampu memenangi segala-galanya," katanya lagi.

"Kami sedia memenangi gelaran. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami begitu hampir mencapainya.

"Kami begitu hampir dalam tempoh dua edisi lalu tetapi kesilapan kami sendiri yang menyebabkan kami tersingkir, bukannya disebabkan projek atau pengurus. Kami mempunyai skuad hebat yang mampu memenangi segala-galanya.

"Jelas sekali, jika mereka masih mahukan saya, saya gembira untuk kekal. Saya mahu mengulanginya lagi: saya sentiasa mahu kekal di sini. Saya dan keluarga berhasrat untuk menamatkan kerjaya di sini."

Tambahnya, dia "selalu memasang impian" untuk bermain bersama Newell's.

"Tetapi kadang-kadang anda perlu mengambil kira soal keluarga berbanding hasrat sendiri," katanya.

"Keluarga adalah perkara paling penting."

Messi turut berharap bekas rakan sepasukannya, Xavi, kembali ke Barca sebagai pengurus walaupun ia berlaku selepas persaraannya. Bekas pemain tengah itu kini membimbing pasukan Qatar, Al Sadd.

"Dia sedang mengasah sentuhannya dan suatu hari nanti, dia akan kembali ke sini," katanya.

"Saya mempunyai perasaan bahawa gayanya mirip dengan (Pep) Guardiola. Saya tidak pasti sama ada saya akan sempat di bawah bimbingannya atau tidak."