Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, cuba untuk mengalihkan perhatian yang diberikan terhadap Lionel Messi kepada pasukannya menjelang aksi Clasico awal pagi esok.

Kedudukan teratas liga bakal menjadi pertaruhan apabila Los Blancos bertandang ke Camp Nou dalam usaha untuk mencatat kemenangan pertama dalam tujuh pertemuan LaLiga menentang pendahulu dan juara bertahan, Barca.

Real bakal turun tanpa Eden Hazard tetapi pemain yang sedang berada dalam prestasi terbaik, Karim Benzema, serta catatan 11 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejohanan memberikan harapan buat Los Blancos untuk mencuri perhatian yang diberikan kepada Messi.

Bintang Argentina itu telah menyumbat 18 gol dalam pertemuan LaLiga menentang Real dan bersedia untuk menyamai rekod 42 penampilan dalam perlawanan Clasico selaku pemain Barcelona yang dimiliki Xavi.

"Apa sahaja yang berlaku, ia adalah permainan bola sepak. Kami akan bermula dengan 11 lawan 11 dan lihat nanti jika ia berakhir sebegitu," ujar pengendali dari Perancis, Zidane.

"Kami tahu dengan siapa kami hadapi, pasukan yang bagus. Mereka telah membuktikannya sejak sekian lama. Kami tahu Messi pemain yang bagaimana tetapi kami juga mempunyai senjata sendiri.

"Diharapkan kami mampu menampilkan aksi maksimum untuk menentang lawan hebat yang berada dalam prestasi terbaik."

Zidane menugaskan bekas pemain tengah, Mateo Kovacic, untuk merantai pergerakan Messi dalam pertemuan di Santiago Bernabeu pada Disember 2017.

Perancangan itu memakan diri apabila pemenang enam kali Ballon d'Or itu menghasilkan gol dalam kemenangan 3-0 buat pelawat dan Zidane tidak mendedahkan sama ada dia akan kembali mempertaruhkan percaturan itu.

"Setiap perlawanan berbeza. Ketika itu, Kovacic adalah pemain tepat untuk mengawal Messi," tambahnya.

"Hari ini berbeza. Ia perlawanan dan kisah berbeza, jadi lihat nanti apa yang akan berlaku."