Lionel Messi diiktiraf sebagai pemenang Kasut Emas Eropah buat kali keenam, semalam, untuk terus meluaskan lagi rekodnya itu selepas menempuhi kempen LaLiga yang luar biasa.

Messi meraih anugerah itu, yang diberikan kepada pemain yang menjaringkan gol terbanyak liga dalam kancah utama Eropah, berbekalkan 36 jaringan dalam 34 penampilan LaLiga sepanjang musim 2018-19.

Usaha itu membantu Barca bagi mempertahankan gelaran LaLiga untuknya meraih Kasut Emas buat musim ketiga berturut-turut.

Bintang Argentina itu telah menerima Kasut Emas itu dalam satu majlis di Barcelona dengan anaknya, Thiago dan Mateo, sendiri bertindak menyerahkan trofi itu.

"Ia adalah satu kancah paling penting. Jika anda tidak bagus dalam kejohanan ini, ia akan menyebabkan anda kehilangan tempat dalam Liga Juara-Juara (UCL)," kata Messi mengenai saingan dalam LaLiga.

"Terima kasih buat semua. Buat keluarga, pengurus, rakan sekerja dan mereka yang telah membantu saya untuk berada di sini hari ini."

Dengan enam gelaran Kasut Emas dimilikinya, ini bermakna Messi mengatasi Cristiano Ronaldo, yang kali terakhir melakukannya pada 2014-15, dengan dua gelaran.

Ketua pasukan Barca itu, bagaimanapun, mengharungi permulaan yang buruk musim ini apabila hanya sekali menemui penyudah.