Lionel Messi menyifatkan Lautaro Martinez sebagai penyerang yang amat sempurna ketika bintang Inter Milan itu sedang dikaitkan untuk menyertai pasukan gergasi LaLiga, Barcelona.

Martinez semakin hampir untuk meninggalkan skuad Nerazzurri itu demi menyertai Barca dengan pasukan gergasi Sepanyol itu dilaporkan sedang mencari pengganti jangka panjang kepada Luis Suarez.

Messi sebelum ini memuji rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Argentina, Martinez, yang telah menjaringkan 16 gol daripada 31 perlawanan sebelum musim 2019-20 ditangguhkan berikutan pandemik koronavirus.

Ditanya mengenai Martinez, bintang utama Barca itu memberitahu Mundo Deportivo: "Secara jujurnya, saya tidak berapa tahu mengenai adakah perbincangan itu sudah dimulakan, saya memang tidak tahu.

"Saya fikir saya sudah menyatakannya sebelum ini, Lautaro seorang penyerang yang luar biasa, terutama kerana saya fikir dia adalah penyerang yang amat sempurna.

"Dia kuat, dia menggelecek dengan baik, dia menjaringkan gol, dia tahu bagaimana untuk melindungi bola... tetapi kita perlu menantikan apa yang akan berlaku dengannya dan dengan pemain lain," katanya.

Mengenai spekulasi pepindahan bekas bintang pasukannya dan penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, Messi menambah: "Terdapat beberapa orang di kelab ini yang menguruskan mengenai tema pembelian dan merekalah yang akan menentukan siapa yang mereka fikirkan yang terbaik buat pasukan.

"Ia amat jelas bahawa situasi yang kita hadapi akan menjadikan pasaran pemain sedikit pelik dan anda perlu memastikan untuk berusaha memperbaiki apa yang kami ada."

Barca berkelebihan dua mata di depan pencabar terdekat, Real Madrid, untuk menduduki tangga teratas LaLiga selepas 27 perlawanan sebelum liga itu ditunda berikutan pandemik Covid-19, Mac lalu.