Lionel Messi berasakan perwatakan yang ditampilkan oleh Barcelona ketika meraih kemenangan 5-0 ke atas Deportivo Alaves semalam merupakan penanda aras bagi musim hadapan.

Selepas gagal mengikut rentak dengan Real Madrid sejak saingan bersambung, Barca akhirnya melepaskan kejuaraan LaLiga apabila tewas 2-1 di laman sendiri kepada Osasuna.

Mereka mengakhiri saingan domestik dengan penuh bergaya, Messi meledak dua gol sebelum Ansu Fati, Luis Suarez dan Nelson Semedo melengkapkan kemenangan.

Messi kagum dengan persembahan rakan sepasukan dan berasakan komitmen yang ditampilkan adalah pemangkin untuk mereka mendapatkan semula kejuaraan musim depan.



Dia memberitahu Movistar: "Seperti yang dikatakan oleh jurulatih (Quique Setien) pada hari sebelumnya, kami telah bermain dengan baik, tetapi perlu melakukannya dengan lebih konsisten.

"Ia merupakan perlawanan yang sukar dan pasukan telah memberikan kebangkitan dengan perwatakan dan komitmen yang positif.

"Kami perlu menilai semula persembahan kami dan menyedari banyak perkara yang perlu diperbaiki. Kami tidak mengharungi musim yang cemerlang."

Dengan saingan domestik sudah berakhir, Barca kini boleh bertukar tumpuan kepada saingan Liga Juara-Juara (UCL). Mereka akan menerima kunjungan Napoli untuk aksi timbal balik pusingan 16 di Camp Nou 8 Ogos ini.