Adidas akhirnya merasmikan bola rasmi yang diberi nama Telstar18 untuk saingan Piala Dunia 2018 di Russia.

Syarikat sukan gergasi itu telah menghasilkan bola untuk Piala Dunia sejak 1970 di Brazil tetapi rekabentuk yang dilakukan bermula edisi 2010 di Afrika Selatan (Adidas Jabulani) dan di Brazil (Adidas Brazuca) empat tahun kemudian dihasilkan daripada inspirasi tuan rumah.

Bagaimanapun, Adidas memilih untuk mengembalikan rekabentuk klasik bagi edisi di Russia pada tahun depan.

Adidas Telstar yang pertama digunakan pada tahun 1970, berkonsepkan 32 panel bola termasuk 12 panel hitam pada permukaan untuk membuatkannya lebih mudah dilihat dikaca televisyen, sebelum Telstar Durlast diperkenalkan empat tahun kemudian di Jerman.

Kehadiran semula Telstar dengan nama baru, Telstar18, telah menarik perhatian ramai bintang bola sepak, termasuk pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or, Lionel Messi.

"Saya sangat bertuah dapat mengenali bola ini dengan lebih awal dan berjaya meraih peluang untuk mencubanya.

"Saya sukakan segala-galanya tentang Telstar18. Rekabentuknya, warna, segala-galanya," kata Messi.