Ketua jurulatih Barcelona, Luis Enrique, menjangkakan Lionel Messi dan Gerard Pique sudah bersedia untuk aksi berdepan Celtic dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Barca kehilangan khidmat Messi akibat masalah kesihatan ketika Malaga, yang beraksi dengan sembilan pemain, berjaya mengekal keputusan seri tanpa jaringan sehingga tamat perlawanan manakala Pique ditimpa kecederaan kaki dalam saingan LaLiga itu.

Messi kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukan semalam. Luis Enrique turut yakin dengan tahap kecergasan Pique ekoran kehilangan khidmat Samuel Umtiti dan Jeremy Mathieu dalam kunjungan 20 pemain ke Glasgow.

"Saya bertemunya pagi ini," katanya mengenai Messi.

"Ia bukan mudah untuk menentukan sama ada dia bersedia untuk beraksi atau tidak tapi Leo sendiri sentiasa bersedia.

"Saya pasti dia sudah bersedia."

Mengenai Pique, tambah Enrique lagi: "Dia dalam keadaan baik, dia mengalami kecederaan ringan di kaki, namun secara umumnya dia tidak apa-apa dan kami berharap dia dapat beraksi."

Dalam pertemuan pertama Kumpulan C, Barca membenam Celtic 7-0. Bagaimanapun, Enrique menjangkakan satu lagi ujian getir sepertimana dalam kunjungan terakhir mereka ke Britain -- tewas 3-1 kepada Manchester City yang dibimbing Pep Guardiola.

Bagi memastikan peluang mereka terus menyala, Celtic wajib menang sambil mengharapkan City ditumbangkan Borussia Monchengladbach.

Andai Barca beroleh kemenangan, mereka akan layak ke peringkat kalah mati.

"Saya tidak menggunakan sebarang rakaman perlawanan di Camp Nou kerana ia berbeza.

"Mungkin perlawanan berlangsung seperti pertemuan dengan City.

"Ia adalah perlawanan berbeza dan kami perlu bersedia dari segenap aspek, sama ada dalam tekanan tinggi atau rendah.

"Dalam mana-mana perlawanan, adalah penting untuk mendapatkan gol awal. Celtic memerlukan mata, jadi saya fikir mereka akan menerap corak serangan. Sama sekali berbeza dengan pertemuan sebelum ini."