Andres Iniesta percaya Lionel Messi adalah pemain terbaik dunia dan berpendapat Barcelona patut memenangi lebih banyak trofi Liga Juara-Juara Eropah bersama bintang itu.

Messi mengesahkan status selaku salah seorang pemain terbaik sepanjang zamanselepas muncul penjaring terbanyak dalam sejarah Barca dan meraih anugerah Ballon d'Or buat kali keenam.

Pemain berusia 32 tahun itu sering dibandingkan dengan tonggak Juventus dan bekas bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Namun, legenda Barca, Iniesta, yang kini beraksi buat kelab Jepun, Vissel Kobe, berkata bekas rakan sepasukannya, Messi, adalah pemain nombor satu.

"Dia memberikan perbezaan dalam semua perkara," katanya.

"Messi berupaya meledakkan hatrik untuk jaringan dan bantuan gol. Jika ia tampak hebat dari bangku penonton, tentunya lebih indah dapat menyaksikannya lebih dekat.

"Bagi saya, dia pemain nombor satu kerana mampu memberikan perbezaan dalam mana-mana situasi walaupun tidak mampu menjadi keseluruhan pasukan.


Sejak tampil bersama Barca pada 2004, Messi telah membantu kelab itu menjulang empat trofi Liga Juara-Juara, 10 kejuaraan LaLiga serta trofi lain.

Iniesta berkata Barca patut meraih lebih banyak kejayaan dalam Liga Juara-Juara berbekalkan Messi di barisan depan.

"Berbekalkan pasukan dan Messi di depan, Barca patut memenangi lebih banyak Liga Juara-Juara," tambahnya.

"Bola sepak memang sukar, anda berdepan lawan yang turut memiliki bakat.

"Penting apabila memenangi sesuatu, anda meraikannya."