Lionel Messi, Neymar, Cristiano Ronaldo dan pemain seperti mereka perlu dilindungi oleh pengadil, kata Ronald Koeman, yang berharap bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu dapat diturunkan ketika berdepan Barcelona dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Barca akan menantikan kunjungan PSG dalam perlawanan pertama pusingan 16 itu awal pagi esok tetapi Neymar -- yang penah berkhidmat selama empat tahun di Camp Nou -- tidak dapat beraksi gara-gara kecederaan adductor ketika menentang Caen minggu lalu.

Pemain kebangsaan Brazil itu dijangka akan berehat selama empat minggu, sekali gus tidak dapat beraksi dalam perlawanan timbal balik menentang Barca di Parc des Princes.

Perlawanan kedua itu akan mengambil tempat pada 10 Mac ini, beberapa hari sebelum tempoh rehat Neymar berakhir, jadi masih ada sedikit harapan untuk pemain itu diturunkan dan jurulatih Barca, Koeman, mahu melihat kelibat bintang PSG itu beraksi.

"Untuk menyaksikan perlawanan terbaik, anda sentiasa perlukan pemain terbaik untuk beraksi di atas padang," kata Koeman kepada wartawan.

"Anda tidak akan tahu bagaimana reaksi sesuatu pasukan sekiranya mereka kehilangan pemain seperti neymar. Kedua-dua pasukan ada kualiti. Saya harap dalam beberapa minggu ini semua orang dapat melihat siapa yang terbaik.

"Saya fikir kita perlu sentiasa melindungi pemain seperti Neymar, Messi, Cristiano kerana mereka membenarkan kita untuk menikmati kualiti hebat yang dimiliki mereka.

A post shared by ene10ta Érre ?? ? neymarjr (@neymarjr)


"Dan berkenaan perkara ini, pengadil perlu melindungi mereka tetapi dalam bola sepak, terdapat sentuhan dan pemain perlu tahu apabila mereka berdepan situasi satu lawan satu, pengadil perlu menentukan apabila ia satu faul yang buruk tetapi bola sepak sentiasa merupakan sukan dengan sentuhan," katanya.