ARGENTINA 3 COLOMBIA 0

Lionel Messi menjadi inspirasi untuk Argentina meraih kemenangan 3-0 yang amat diperlukan ke atas Colombia selepas mengharungi empat perlawanan tanpa kemenangan dalam kelayakan Piala Dunia.


Messi membuka jaringan Argentina pada minit ke-10 sebelum membantu Lucas Pratto menanduk masuk jaringan kedua pada separuh masa kedua di Stadium San Juan del Bicentenario, awal pagi tadi.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu terus menjadi wira buat pasukan Edgardo Bauza, yang terdesak memerlukan kemenangan berikutan tempoh sukar baru-baru ini, selepas turut menjadi punca jaringan lewat Angel Di Maria.

Radamel Falcao mempunyai beberapa peluang pada babak pertama untuk Colombia tetapi mereka dihalang.

Ini bermakna Argentina mara mengatasi Colombia dalam kelayakan zon Amerika Selatan, rangsangan besar berikutan kekalahan kepada Paraguay dan Brazil sebelum ini.

Bauza membuat tiga pertukaran terhadap pasukannya yang tewas kepada Brazil, dengan Pablo Zabaleta, Enzo Perez dan Gonzalo Higuain membuka peluang beraksi untuk Gabriel Mercado, Ever Banega dan Pratto.

Sementara itu, Colombia membuat banyak perubahan kepada pasukan yang mengikat Chile 0-0 dalam perlawanan terakhir, termasuk mengembalikan Juan Cuadrado dan menurunkan Falcao dalam kesebelasan utama.

Tuan rumah, Argentina, memulakan perlawanan dengan lebih baik, dengan tandukan Nicolas Otamendi melepasi palang selepas menyambut sepakan percuma Messi pada minit keenam.

Falcao mempunyai peluang yang sukar dua minit kemudian, sebelum Messi membuka jaringan dengan gaya yang menakjubkan.

Messi yang juga bintang Barcelona tidak memberi peluang kepada penjaga gol Colombia, David Ospina, apabila melakukan sepakan percuma lencong 25 ela untuk gol pertama.

Falcao hampir menyamakan kedudukan untuk Colombia pada minit ke-19, bagaimanapun, tandukan kuatnya yang menyambut sepakan percuma James Rodriguez, melepasi palang.

Pasukannya dihukum kerana terlepas peluang selepas Messi meletakkan Argentina 2-0 menerusi lambungan pendek yang menemui Pratto untuk ditanduk ke sudut bawah pada minit ke-23.

Argentina seolah-olah lebih berkampung di kawasan sendiri pada separuh kedua dan pasukan pelawat bergelut untuk memecahkan kubu mereka, sambil skuad Bauza menunggu peluang melakukan serangan balas.

Di Maria hampir menjaringkan gol menersui voli selepas rehat, sebelum usahanya berhasil apabila menerima hantaran Messi pada minit ke-84.

Pada ketika itu, Messi memenangi perebutan bola di penjuru kubu lawan sebelum membawanya ke dalam dan menghantarnya ke tengah untuk disudahkan Maria.