Gandingan Lautaro Martinez dan Lionel Messi di Barcelona akan memberikan kelebihan buat Argentina tetapi sukar untuk membawa penyerang itu keluar daripada Inter Milan, kata pengendali Albiceleste, Lionel Scaloni.

Barca dilaporkan menjadikan Martinez sebagai sasaran untuk pengganti jangka panjang buat Luis Suarez yang kini berusia 33 tahun sekali gus bakal menyaksikannya bergandingan dengan Messi.

Mingu lalu, pemenang enam kali Ballon d'Or, Messi, bercakap mengenai bakat dimiliki Martinez tetapi menolak untuk membincangkan sebarang potensi perpindahan.

Martinez meledakkan 16 gol dalam 31 perlawanan bagi semua kejohanan musim ini sebelum saingan Serie A ditangguhkan akibat coronavirus.

Scaloni berpendapat bakat yang ada pada penyerang itu akan meningkat jika beraksi secara kerap dengan Messi tetapi mengakui Martinez sudah beraksi buat pasukan elit yang tidak bercadang untuk melepaskannya.

"Hari ini, Martinez adalah penyerang yang diinginkan oleh setiap pasukan gergasi," kata Scaloni kepada RTVE.

"Dia telah pun bersama kelab besar yang bersaing dengan pasukan lain, jadi sukar untuk membawanya keluar.

"Jika Martinez bernasib baik dapat beraksi dengan Messi di Barca, ia akan menjadikan kami lebih baik.

"Dia seorang penyerang muda yang mempunyai masa depan cerah. Martinez sangat kuat dan memiliki keinginan tinggi untuk berjaya.

"Saya tidak mahu mengganggu tetapi jika dia berubah kelab, saya harap dia berjaya."