Lionel Messi telah "menggulingkan" Diego Maradona sebagai pemain nombor 10 Argentina, menurut bekas pemain antarabangsa Itali, Antonio Cassano.

Ketekalan Messi dalam tempoh yang panjang telah melonjakkannya sebagai pemain terbaik Argentina, menurut pandangan Cassano sambil meminta peminat Maradona supaya akur bahawa bintang Barcelona itu sebagai yang terbaik.

Cassano membantu Real Madrid meraih gelaran LaLiga pada 2006-07 ketika mengetepikan Barca dan Messi, namun kejayaannya di Sepanyol itu tidak akan mengubah pendapatnya mengenai penggempur lincah berkenaan.

"Maradona telah melakukan sesuatu yang belum pernah dilihat sebelum ini dan ia kekal selama empat atau lima tahun, tetapi Messi melakukan hal yang sama selama 15 tahun," katanya dalam wawancara dengan Corriere dello Sport.

"Dia telah mencetak 710 gol dan 300 bantuan jaringan. Apabila dia bermain, anda sudah mendahului 1-0 ketika sepak mula.

"The 'Maradonians' harus menerima hakikat: ada seseorang yang telah menggulingkannya."


Cassano mendedahkan sebelum Messi bergerak ke puncak senarai itu, dia percaya penyerang Brazil, Ronaldo, yang juga merupakan bekas rakan sepasukan di Madrid -- merupakan bintang paling menyinar.

"Kami tumpas 0-1 di laman sendiri," kata Cassano.

"Seluruh stadium bersiul terutama ke arahnya (Ronaldo).

"Di dalam bilik persalinan, pengurus mahu mengetepikan Ronnie untuk meletakkan (Ruud) Van Nistelrooy, tetapi dia (Ronaldo) menghentikan perbualan itu sambil berkata 'tidak, anda hanya akan mengeluarkan saya dalam tempoh 15 minit jika saya tidak meledak dua gol'.

"Pada minit ke-15, (kami mendahului) 2-1 hasil daripada dua gol Ronaldo maka saya berkata jika ada tuhan bola sepak, ia adalah Ronaldo.

"Kemudian saya mendapati Messi pula berada di atasnya."