Messi kembali sumbang gol buat Barcelona 

Oleh Shaiful Shamsudin 17 September 2020 2386
Messi kembali sumbang gol buat Barcelona 
GIRONA 1 BARCELONA 3

Lionel Messi kembali mencetak jaringan dengan penuh bergaya dalam kemenangan 3-1 aksi pemanas badan Barcelona dengan Girona, awal pagi tadi.


Ketua pasukan skuad Blaugrana itu bersedia untuk menghabiskan baki kontraknya di Camp Nou selepas gagal berpindah keluar daripada satu-satunya kelab seniornya berkenaan. 

Messi kerap dikaitkan dengan Manchester City tetapi kekal di Barca dengan kekecewaan rundingan itu gagal dimeterai.

Pemain berjersi nombor 10 itu turun dalam perlawanan pra-musim pertama pasukannya di bawah kendalian Ronald Koeman, hujung minggu lalu, ketika menentang Gimnastic dalam babak pertama tetapi gagal menyumbat sebarang gol.

Pemain Argentina itu membuktikan sentuhan berbisanya, namun menerusi rembatan deras kaki kanannya dari jarak 20 ela yang menuju ke tiang sebelum menerjah ke gawang lawan ketika menuju rehat sambil meraikan jaringannya dengan dingin. 

Gol keduanya pula terhasil menerusi percubaan yang mengelirukan penjaga gawang lawan bagi menjadikan 3-1 selepas Philippe Coutinho terlebih dahulu membuka tirai jaringan. 

 

Messi kemudian memberi laluan kepada Ousmane Dembele selepas 63 minit permainan tetapi dalam masa sama, kelibat pemain yang dikaitkan dengan perpindahan, Luis Suarez dan Alexis Vidal, tidak muncul dalam perlawanan ujian itu. 

Skuad Barca mengatur satu lagi perlawanan persahabatan, iaitu perebutan Trofi  Joan Gamper menentang Elche sebelum kempen memulakan kempen LaLiga Barca di laman sendiri bertemu Villarreal pada hujung bulan ini. 

   

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen