Lionel Messi menyertai sesi latihan Barca semalam dan ia merupakan kali pertama dia menyertai sesi itu selepas gagal meninggalkan kelab berkenaan.

Bintang Argentina itu pada Jumaat lalu mengesahkan bahawa dia akan kekal di Camp Nou selepas gagal dalam usahanya untuk berhijrah ke pasukan lain.

Messi percaya dia boleh menggunakan satu klausa dalam kontraknya untuk dibenarkan meninggalkan pasukan itu secara percuma tetapi Barca dan LaLiga menegaskan terma itu sudah tamat tempoh dan kontraknya hanya boleh ditamatkan dengan pampasan bernilai €700 juta (RM3.4 bilion).

Pemain berusia 33 tahun itu menuduh Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, gagal mengotakan janji untuk membenarkannya meninggalkan pasukan itu sekiranya dia berkeinginan tetapi pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu menegaskan bahawa dia akan kekal komited bersama kelab itu sepanjang musim 2020-21.

Messi, yang dilihat memperagakan jersi baru ketiga Barca musim ini, kemudian tiba di pusat latihan mereka semalam.

Berdasarkan laporan Marca, penyerang itu merupakan individu pertama yang tiba di Pusat Latihan Sant Joan Despi -- sejam setengah lebih awal daripada waktu latihan bermula.

Barca kemudian melakukan ciapan menunjukkan Messi sedang menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih baru, Ronald Koeman.

Pasukan gergasi Catalan itu akan memulakan kempen LaLiga dengan menentang Villarreal hujung bulan ini.