Lionel Messi kelihatan baik dalam sesi latihan sejak beberapa hari lalu tetapi Ernesto Valverde masih gusar untuk menurunkannya ketika Barcelona berkunjung ke Borussia Dortmund bagi perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok.

Bintang Argentina itu masih belum diturunkan sepanjang musim ini selepas mengalami kecederaan betis dalam aksi pramusim, namun dinamakan dalam skuad ke Signal Iduna Park itu.

Valverde lega dengan prestasi Messi dalam sesi latihan tetapi belum dapat membuat keputusan sama ada dapat menurunkan kapten pasukannya itu atau tidak.

"Kami akan menentukannya sebelum perlawanan bermula.

"Ia masih belum jelas sepanjang minggu lalu sama ada dia dapat diturunkan tetapi dia menyertai kami dalam beberapa sesi latihan terakhir, beraksi baik dan tidak memikirkan tentang kesakitan itu lagi. Kami akan lihat apa yang perlu dilakukan," katanya.

Sama ada Messi dapat diturunkan atau tidak, Barca masih boleh memberikan penampilan pertama Liga Juara-Juara buat Ansu Fati, pemain berusia 16 tahun yang mencipa sensasi dalam LaLiga musim ini.

Fati menjadi pemain termuda Barca menjaringkan gol liga selepas melakukannya ke atas Osasuna bulan lalu dan menandakan penampilan pertamanya di Camp Nou dengan satu gol dan satu bantuan jaringan dalam tujuh minit pertama ketika membelasah Valencia 5-2 awal pagi kelmarin.

"Saya masih belum berbincang dengannya, saya menyimpannya untuk tujuan taktikal.

"Saya tidak menggemari sejarah saya dalam memberikan saranan.

"Sudah pasti saya akan bercakap dengannya, namun anda perlu memberikannya sedikit ruang untuk bernafas.

"Apa yang dilakukannya amat luar biasa. Jika dia diturunkan, ia bukan untuk dia memecahkan rekod tetapi disebabkan oleh keperluan pasukan. Kami semua menyayanginya," tambahnya.

Barca hanya tewas sekali dalam 28 perlawanan perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini tetapi dalam tekanan yang besar selepas disingkirkan oleh Liverpool dalam separuh akhir musim lalu.

Valverde percaya Dortmund akan memberikan ujian terbaik buat pasukannya ketika dia mahu melupakan kekecewaan di Anfield musim lalu dan kekalahan saat akhir kepada AS Roma dalam suku akhir musim sebelumnya.

"Saya menjangkakan aksi di tahap tertinggi daripada seteru itu, lawan yang bersaing untuk merebut segala-galanya di negara mereka dan Eropah.

"Mereka adalah ujian terbaik buat kami.

"Ia kejohanan di mana satu hari terburuk boleh menyingkirkan anda walaupun anda memiliki prestasi terbaik hingga ke saat itu.

"Dua finalis musim lalu (Liverpool dan Tottenham Hotspur) tewas lebih banyak berbanding kami.

"Anda tidak boleh mengabaikan apa-apa walau 10 minit sekalipun," tambahnya lagi.