Lionel Messi mengumumkan bahawa dia akan kekal di Barcelona kerana keperluan kewangan menyaksikan keinginannya untuk meninggalkan kelab itu menjadi sesuatu yang mustahil.

Bintang Argentina itu menggemparkan Camp Nou sejak minggu lalu apabila meluahkan hasratnya untuk meninggalkan Barca selepas diaibkan dengan kekalahan 2-8 di tangan Bayern Munich dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Messi pada awalnya mempercayai bahawa dia boleh meninggalkan kelab itu dengan mengaktifkan satu klausa yang membenarkan kontraknya ditamatkan pada penghujung musim ini, di mana Manchester City menjadi pasukan paling berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

LaLiga, bagaimanapun, menafikan situasi itu dengan menegaskan bahawa mana-mana pasukan yang mahukan khidmat Messi perlu berbincang dengan Barca atau membayar yuran pelepasan bernilai €700 juta (RM3.4 bilon) yang terkandung dalam kontrak pemain itu memandangkan pilihan mengaktifkan klausa itu sudah tamat tempoh pada 10 Jun lalu.

Bapa dan ejen Messi, Jorge, dilaporkan sudah bertemu dengan Presiden Barca, Josep Maria Bartomeu, untuk berbincang mengenai masa depan pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu dan berkata amat sukar untuk anaknya kekal bersama kelab itu.

Bagaimanapun, laporan yang diterbitkan selepas pertemuan itu mendapati Messi berkemungkinan perlu memulakan kes sivil di mahkamah berhubung perpindahan itu manakala City pula dikatakan tidak dapat bersetuju dengan pembiayaan besar berkenaan.

Akibatnya, Messi mengesahkan malam tadi bahawa dia tidak akan meninggalkan kelab itu memandangkan perpindahan percuma bukan lagi satu pilihan buatnya.

Dia berkata kepada Goal Spain: "Saya berasakan dan amat yakin bahawa saya dapat meninggalkan pasukan ini.

"Presiden selalu berkata bahawa saya bebas memilih untuk meninggalkan kelab ini atau tidak pada penghujung musim.

"KIni mereka bertegas bahawa saya tidak memaklumkannya pada 10 Jun lalu, di mana pada 10 Jun lalu, kami masih bertanding dalam LaLiga pada ketika koronavirus masih ada dan wabak itu telah mengubah keseluruhan musim.

"Inilah sebabnya saya akan terus berada bersama kelab ini.

"Kini saya terpaksa meneruskannya kerana presiden memberitahu saya bahawa satu-satunya cara untuk meninggalkan kelab ini adalah dengan membayar klausa €700 juta dan ia sesuatu yang mustahil," katanya.

¡¡Nos vemos en Lisboa!! ???

A post shared by Leo Messi (@leomessi) on