Messi ke Inter? Anda tidak tahu apa yang saya perlu buat untuk dapat Lukaku -- Conte

Oleh Muzaffar Musa 2 Ogos 2020 3772
Messi ke Inter? Anda tidak tahu apa yang saya perlu buat untuk dapat Lukaku -- Conte
Antonio Conte sekali lagi menegaskan bahawa khabar angin mengaitkan Lionel Messi dengan Inter Milan sebagai sesuatu yang menyimpang jauh, sambil menjelaskan betapa dia perlu berusaha keras untuk meyakinkan kelab itu bagi menandatangani Romelu Lukaku.

Inter menamatkan Serie A musim 2019-20 selaku naib juara selepas menewaskan Atalanta 2-0 di Bergami awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan mereka hanya kekurangan satu mata berbanding juara, Juventus, yang tewas 1-3 kepada AS Roma dalam perlawanan terakhir mereka musim ini.

Setelah memberikan sokongan kepada Conte dalam pasaran pemain, Inter dijangka akan mengukuhkan barisan pemainnya menjelang musim 2020-21.

Terdapat laporan di Itali mendakwa Inter sedang mencuba untuk memancing ikon Barcelona dan pemenang Ballon d'Or, Messi, daripada LaLiga memandangkan masa depan pemain itu agak goyah di Camp Nou.
 
Conte, bagaimanapun, masih kekal realistik, terutama selepas Ketua Pegawai Eksekutif Inter, Giuseppe Marotta, menyamakan spekulasi itu dengan "fantasi utopia".

"Lihat, hanya saya sahaja yang tahu apa yang telah saya lakukan untuk mendapatkan Lukaku," selorohnya kepada wartawan selepas perlawanan itu.

"Percayalah, kami akan melakukan penilaian selepas tamat musim ini."

Lukaku tiba daripada Manchester United tahun lalu dan menamatkan musim Serie A pertamanya selaku penjaring terbanyak Inter.

Dia menjaringan 23 gol dalam saingan itu dan Conte memuji penyerang kebangsaan Belgium berkenaan di samping gandingannya, Lautaro Martinez dan Alexis Sanchez.

"Dia amat kuat, saya sudah memerhatikannya sewaktu di Chelsea tetapi dia kemudian menyertai United," kata Conte mengenai Lukaku.

"Dia pemain bola sepak yang tidak tipikal yang boleh menjadi sumber rujukan tetapi dia masih boleh meningkat.

"Hari ini, saya juga amat menyukai Lautaro dan Sanchez.

"Saya perlu berterima kasih kepada mereka selepas kami menjaringkan 81 gol dan menamatkan musim ini di tempat kedua," tambahnya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen