Lionel Messi mahu Barcelona mengalahkan Real Madrid dalam pertembungan El Clasico, Sabtu ini, untuk memastikan pasukannya dapat menikmati perayaan Krismas yang meriah.

Barca akan berkunjung ke Bernabeu dengan membawa bekalan 11 mata sebagai pendahulu LaLiga, dengan Barca mendahului Atletico Madrid dengan enam mata.

Kemenangan bagi skuad bimbingan Ernesto Valverde itu akan menyaksikan Barca akan mendahului selesa tatkala Madrid mempunyai kelebihan perlawanan berikutan terlibat dalam Piala Dunia Kelab.

Dan Messi, yang gagal merebut Anugerah Ballon d'Or daripada Cristiano Ronaldo pada tahun ini, menuntut Barcelona menamatkan tempoh musim sejuk ini dengan cemerlang.

"Adalah penting untuk menang kerana ia sentiasa menjadi pertembungan istimewa," kata Messi menjelang aksi jam 8 malam waktu Malaysia itu nanti. "Real Madrid, di stadium mereka ... menang adalah kelebihan penting.

"Masih ada banyak lagi baki perlawanan tetapi adalah bagus untuk mengakhiri tahun ini dengan kemenangan dan mengharungi Krismas dengan bahagia," katanya.

Messi, yang bercakap dalam sebuah gala Anugerah Pichichi (penjaring terbanyak) dan Trofi Alfredo Di Stefano -- bagi meraikan penjaring gol terbanyak LaLiga musim 2017 dan pemain dinilai sebagai yang terbaik oleh akhbar Sepanyol Marca -- juga berbicara mengenai prospek pertemuan Argentina dengan Sepanyol dalam Piala Dunia tahun depan.

"Saya tidak tahu jika final dengan Sepanyol akan menjadi mimpi," kata pemain berusia 30 tahun itu, yang dinafikan kejuaraan oleh Jerman pada 2014.

"Ia akan menjadi sesuatu yang luar biasa dapat bermain dalam perlawanan akhir Piala Dunia sekali lagi.

"Pertama, kami perlu memikirkan aksi peringkat kumpulan dan ia adalah sukar, kemudian kita lihat apa yang berlaku," katanya.

Argentina diundi sekumpulan dengan Croatia dan Nigeria dalam misi sukar Kumpulan D dan mereka akan membuka kempen mereka di Russia menentang Iceland yang bakal membuat kemunculan sulung.