PSV 1 BARCELONA 2

Lionel Messi yang ceria mengakui tendangan bebasnya untuk menyumbang kepada jaringan Gerard Pique dalam kemenangan Barcelona ke atas PSV adalah tidak disengajakan.


Selepas meledak gol cemerlang, Messi melepaskan sepakan percuma yang disambut oleh Pique dalam babak kedua untuk kemenangan 2-1 Barca dalam Kumpulan E, Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Sunggupun ada yang memberikan pujian terhadap bintang Argentina itu atas bantuan golnya, pemain berusia 31 tahun itu mendedahkan ia terhasil tanpa niat.

"Sepakan percuma itu tidak menjadi tetapi Gerard berada di kawasan berkenaan dan dia melihatnya, nasib baik ia masuk. Namun, ia bukanlah sesuatu yang kami rancangkan," kata Messi melalui laman sesawang kelab itu.

Jaringan Luuk de Jong kembali meletakkan PSV dalam saingan, begitupun Barca memastikan kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan B.

Jaringan Messi itu menyaksikannya mengatasi rekod Cristiano Ronaldo sebagai penjaring UCL paling produktif bersama kelab tunggal dengan menghasilkan gol yang ke-106.

Dia berkata: "Saya gembira, saya baru tahu sekarang, saya gembira dengan statistik baru ini."

Messi juga teruja melihat pasukannya meraih tangga teratas kumpulan yang turut dihuni Inter dan Tottenham.

"Kami telah mencapai matlamat kami untuk melolosi kumpulan sukar ini," katanya.

"Kami sangat gembira, saingan kumpulan ini sangat sengit dengan perjalanan yang sukar."