Bintang Barcelona, Lionel Messi, merupakan Harry Potter dalam bola sepak, kata Christian Vieri.

Messi membantu jaringan pembukaan Osmane Dembele sebelum menyudahkan sepakan penalti pada lewat permainan ketika Barcelona merakamkan kemenangan 2-0 ke atas Juventus dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di gelanggang lawan awal pagi tadi.

Pemenang enam kali anugerah Ballon d'Or itu melakukan lima hantaran penting dan 65 hantaran di bahagian lawan ketika Barca memperbaiki kedudukan mereka dalam saingan Kumpulan G.

Vieri, yang memenangi Serie A musim 1996-97 bersama Juve dan pernah melakukan 49 penampilan bersama skuad kebangsaan Itali, memuji sumbangan yang dihasilkan Messi di Turin.

"Ia pasukan Barcelona yang luar biasa, tidak syak lagi. Mereka boleh menjaringkan enam atau tujuh gol dengan mudah. Mereka bermain dengan amat hebat," katanya kepada CBS Sports.

"Messi seorang ahli sihir, dia Harry Potter dalam bola sepak dan apabila dia berhenti bermain, saya akan membuang TV saya.

"Saya tidak akan berkerja di TV lagi, saya akan menonton Netflix, itulah yang akan berlaku kerana apabila dia berhenti bermain, tiada apa lagi untuk ditonton," katanya.

Sejak melakukan penampilan pertama dalam Liga Juara-Juara musim 2004-05, hanya Cristiano Ronaldo (38) telah melakukan lebih banyak bantuan jaringan berbanding Messi (35).

Pemain kebangsaan Argentina itu membantu Barca mendominasi Juve -- yang kekurangan seorang pemain selepas Merih Demiral dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-85 dan gagal merekodkan sebarang percubaan tepat buat kali pertama di laman sendiri sejak musim 2003-04, ketika data Opta mula diperkenalkan.

Penyerang Juventus, Alvaro Morata, menjaringkan tiga gol yang dibatalkan pengadil kerana ofsaid sepanjang perlawanan itu.

Vieri kagum dengan prestasi Barca dengan berkata: "Ia memang bola sepak dan permainan yang berbeza.

"Saya tidak faham mengapa mereka tewas kepada Real Madrid tetapi jika anda melihat permainan mereka (ketika menewaskan Juve), anda akan berkata mereka tidak akan dapat dikalahkan oleh mana-mana lawan sepanjang tahun ini, amat mustahil dengan cara permainan mereka.

"Setiap perlawanan berbeza tetapi saya dan semua orang dapat lihat betapa hebatnya mereka.

"Amat sedih kerana tiada penonton di sini kerana penonton selalunya mahu menyaksikan pasukan seperti ini," katanya lagi.

Barcelona kini menduduki tangga ke-12 Serie A dan akan berdepan Deportivo Alaves hujung minggu ini.