Penyerang Barcelona, Lionel Messi, berkata tahap persaingan dalam LaLiga musim ini lebih tinggi berbanding musim-musim terdahulu dan berharap keadaan itu kekal sehingga penghujung musim ketika dia menerima anugerah Trofeo Di Stefano sebagai Pemain Terbaik Divisyen Utama bagi musim 2017/18, awal pagi tadi.

Bintang kelahiran Argentina itu menerima anugerah berkenaan daripada akhbar Sepanyol, Marca, selain turut menerima satu lagi anugerah, iaitu Trofeo Pichichi, selaku penjaring tTerbanyak selepas menjaringkan 34 gol musim lalu.

Messi meneruskan rekod jaringan musim ini kepada sembilan gol, dua daripadanya dilakukan ketika kekalahan mengejut 3-4 Barca kepada Real Betis di Camp Nou, hujung minggu lalu.

Kekalahan itu mengakibatkan mereka kini hanya berkelebihan satu mata sebagai pendahulu LaLiga.

Sevilla, Atletico Madrid, Deportivo Alaves dan Espanyol kesemuanya berada di atas pencabar utama Barca, Real Madrid -- yang ketinggalan empat mata daripada kedudukan teratas liga -- dan Messi gembira dengan persaingan terbuka itu.

"Ia bagus untuk berada dalam liga seperti ini.

"Ia lebih sengit berbanding musim-musim terdahulu.

"Setiap pasukan boleh menumpaskan pasukan yang lain.

"Ia baik untuk penonton dan saya mengharapkan keadaan ini kekal lama," katanya.

Pemain berusia 31 tahun itu turut menyatakan yang dia tidak terkesan untuk kembali dalam kesebelasan utama pasukan selepas patah lengan kanan dalam aksi berdepan Sevilla, 20 Oktober lalu.

"Pada awalnya saya berasa takut dan mengelak daripada menerima sebarang sentuhan.

"Saya cuba memberanikan diri selepas itu dan segalanya kelihatan baik setakat ini."

Penjaga gol Atletico, Jan Oblak, memenangi Trofeo Zamora buat kali ketiga berturut-turut selepas hanya bolos 22 kali dalam 37 penampilan LaLiga musim lalu.

Iago Aspas membawa pulang Trofeo Zarra selaku penjaring terbanyak tempatan manakala Marcelino menerima anugerah Trofeo Miguel Munoz selaku ketua jurulatih terbaik.