Messi hampiri tahap terbaik -- Koeman 

Oleh Shaiful Shamsudin 7 Januari 2021 868
 Messi hampiri tahap terbaik -- Koeman 
ATHLETIC 2 BARCA 3

Pengurus Barcelona, ​​Ronald Koeman, percaya Lionel Messi menghampiri tahap terbaiknya selepas menonjol ketika menentang Athletic Bilbao.


Messi meledak dua gol selain mencipta peluang untuk jaringan Pedri ketika Barca mencatat kemenangan 3-2 di San Mames, awal pagi tadi.

Bintang Argentina itu telah terlibat dengan 10 gol daripada 10 perlawanan terakhirnya selain menyumbangkan lapan gol dan dua bantuan jaringan dalam LaLiga. 

Lantas, Koeman berasakan Messi, yang telah mencetak 12 gol dalam 20 penampilan musim ini, semakin meningkat.

"Sejak hari pertama saya tiba di kelab ini lagi saya fikir Lionel Messi telah mencurahkan segalanya," katanya dalam sidang akhbar.

"Saya tidak terkejut dengan kualitinya kerana dia sudah membuktikannya selama bertahun-tahun. Mungkin benar bahawa dia kurang berbisa daripada kebiasaanya, itulah sebabnya timbul keraguan terhadapnya tetapi ketika ini dia melakukannya dengan lebih baik. Buat masa ini dia berasa selesa dan seronok menghadapi cabaran.

"Begitulah perasaan saya. Tetapi saya rasa Messi adalah orang yang paling tepat untuk mengulasnya."

 

Pedri membatalkan gol pembukaan Inaki Williams sebelum jaringan berganda Messi itu untuk gergasi Catalunya berkenaan melangkah ke tangga ketiga LaLiga walaupun diancam jaringan lewat daripada Iker Muniain.

Koeman turut memuji Ousmane Dembele -- yang bergandingan dengan Pedri dan Antoine Griezmann -- membuat tiga hantaran penting dalam perlawanan.

"Saya rasa segalanya bermula dengan pemain itu sendiri. Sekiranya pemain berasa selesa dan sihat secara fizikal, maka dia boleh beraksi dengan baik," katanya.

"Saya tidak pernah mempersoalkan kualitinya tetapi timbul keraguan tentang kemampuannya untuk kekal cergas. 

"Pada masa ini dia nampak sangat cergas dan saya harus memikirkan program perlawanan yang akan datang dan waktu yang sesuai untuk merehatkannya berikutan dia sudah lama tidak beraksi dengan kerap.

"Dia juga harus belajar bagaimana mengatur waktu permainannya. Tetapi daripada segi bola sepak dia boleh diturunkan. Kami tahu apa yang mampu ditawarkannya kepada pasukan. Dia sangat bagus ketika mengasak, membuat gelecekan dan itu adalah kualiti yang baik buat kami. "

Barca -- yang ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu LaLiga, Atletico Madrid, yang telah beraksi lebih dua perlawanan -- akan mengunjungi Granada, Ahad ini.
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen