Lionel Messi gembira di atas kemenangan Argentina menewaskan Brazil sambil menyifatkan seteru antara negara Amerika Selatan itu semakin kuat berbanding sebelum ini.

Dalam penampilan semulanya bersama skuad kebangsaan selepas sekian lama, Messi menjaringkan gol tunggal ketika Argentina merekodkan kemenangan 1-0 dalam aksi persahabatan di Riyadh.

Pemain bintang itu menampan masuk gol selepas sepakan penaltinya ditampan oleh Alisson sementara Gabriel Jesus gagal menyempurnakan jaringan buat Brazil.

Ia merupakan kemenangan pertama Argentina ke atas Brazil sejak 2017 dan Messi membincangkan tentang kepentingan perseteruan dua negara itu.

"Persaingan dua pasukan ini semakin tinggi dan ia adalah sesuatu yang menggembirakan apabila menewaskan Brazil," katanya.

"Apabila anda menang, anda bekerja dengan lebih baik. Setiap idea jurulatih diterjemahkan di atas padang dan kami berjaya meraih keputusan yang positif.

Argentina akan berdepan Uruguay dalam satu lagi aksi persahabatan Isnin ini sebagai persiapan menghadapi saingan kelayakan Piala Dunia yang akan bermula Mac tahun depan.

Messi memberikan pujian kepada jentera pertahanan skuad kendalian Lionel Scaloni itu, yang kini merekodkan enam perlawanan tanpa kalah.

"Tidak lama lagi saingan kelayakan akan bermula, pasukan ini di tahap terbaik," kata Messi lagi.

"Jentera pertahanan kami memastikan kami meraih kemenangan."