Messi digantung perlawanan selepas terima kad merah pertama di Barcelona

Oleh Muzaffar Musa 18 Januari 2021 820
Messi digantung perlawanan selepas terima kad merah pertama di Barcelona
Lionel Messi sudah mencapai segala-galanya sepanjang kariernya bersama Barcelona tetapi sehingga awal pagi tadi, dia tidak pernah dilayangkan kad merah selama bersama pasukan gergasi Catalan itu.

Tetapi perkara itu berubah sebaik Messi diarahkan keluar padang buat kali pertama sepanjang karier kelabnya selepas dia kelihatan hilang pertimbangan  pada penghujung permainan di mana Barca tewas 2-3 kepada Athletic Bilbao dalam final  Supercopa de Espana awal pagi tadi.

Messi, yang baru pulih daripada kecederaan ringan dan kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama Barca, menerima kad merah pertamanya sepanjang 753 penampilan bersama kelab itu.

Selepas perlawanan berlangsung seapa 119 minit, Messi dilihat mengasari Asier Villalibre dalam satu insiden tanpa bola untuk pengadil, Jesus Gil Manzani, melayangkan kad merah selepas merujuk kepada video bantuan pengadil (VAR).

Pemain berusia 33 tahun itu kini berdepan kemungkinan untuk digantung perlawanan untuk tempoh yang lebih panjang, yang akan dibawa ke saingan LaLiga, berdasarkan pertimbangan Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bolasepak Sepanyol (RFEF).

Ia merupakan kad merah ketiga sepanjang karier 17 tahun Messi, di mana dia pernah diarahkan keluar padang sebanyak dua kali sewaktu mewakili Argentina.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen