BARCELONA 5 VALLADOLID 1

Pemain tengah Barcelona, Arturo Vidal, berpandangan kapten pasukan, Lionel Messi, datang dari planet lain selepas mempamerkan aksi mengagumkan ketika berdepan Real Valladolid.


Messi mencorakkan permainan terbaiknya dengan dua gol dan dua bantuan jaringan ketika membantu juara LaLiga itu mengatasi Valladolid 5-1 di Nou Camp, awal pagi tadi.

Pemain kebangsaan Argentina itu melakukan lorongan buat jaringan yang disumbat Vidal sebelum menjaringkan gol menerusi sepakan percuma -- yang ke-50 dalam kariernya untuk kelab dan negara -- sebelum rehat separuh masa.

Messi menjaringkan gol kedua dalam separuh masa kedua sebelum melakukan hantaran untuk Suarez memahat nama selaku penjaring, sekali gus menyaksikan Barca melonjak ke persada liga.

"Ia memberikan perbezaan dengan Leo menyerlahkan segala kualitinya. Apabila dia beraksi seperti ini, pasukan dapat berasakannya," kata Vidal kepada Movistar Plus.

"Kami melihatnya setiap hari, tetapi dia tetap memberikan kejutan kepada kami setiap hari. Leo datang dari planet lain.

"Kami sangat gembira kami menang dan pasukan berasa bagus. Tiada apa yang boleh saya katakan tentang Messi. Anda perlu memanfaatkannya dan meraih sepenuhnya daripada dia."

Walaupun jaringan minit kedua Clement Lenglet dinafikan Kiko Olivas, 13 minit kemudian, Messi berjaya menjadi inspirasi Barca ketika bertemu pelawat.

Barca berkelebihan dua mata ke atas Granada dan Atletico Madrid selepas 10 perlawanan.

"Kemenangan-kemenangan ini membantu tapi anda perlu terus meningkat," kata Vidal, yang telah dikaitkan dengan kelab Serie A, Inter.

"Perlawanan dengan Slavia (Prague dalam Liga Juara-Juara) bukanlah apa yang kami tahu bagaimana untuk lakukan.Harap-harap ia tidak akan berlaku kepada kami mulai sekarang."