Penyerang Barcelona, Luis Suarez, mendedahkan rakan sepasukannya, Lionel Messi, setiap hari membuktikan dirinya pemain terbaik dunia.

Penyerang kelahiran Uruguay itu tahun lalu meraikan ulang tahun kelima di Nou Camp sejak berhijrah dari Liverpool bagi bergandingan dengan Messi.

Musim ini membuktikan tiada beza, dengan dua penyerang itu kini telah menghasilkan 14 gol dalam saingan LaLiga di sebalik Messi dibelenggu masalah kecederaan pada permulaan musim.

Perdebatan untuk membuktikan siapa pemain terbaik dunia di antara Messi dan bekas bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, kini bersama Juventus, sudah berterusan lebih dari sedekad.

Tetapi bagi Suarez, tiada pemain yang lebih hebat daripada Messi.

"Messi banyak membantu saya daripada peningkatan secara peribadi. Kami memiliki pertalian yang utuh daripada permulaan. Dia bukan sahaja membantu saya di atas padang, malah di luar juga," kata Suarez kepada laman web rasmi Barcelona.

"Semua orang menyedari dia adalah yang terbaik di dunia. Dia telah membuktikannya dan terus melakukannya setiap hari.

"Dia banyak membantu saya ketika bersaing merebut kasut emas. Ketika berdepan Eibar, dia memberikan jaringan kepada saya."

Di sebalik mendahului saingan LaLiga sebelum aksi perlawanan antarabangsa, jurulatih Barca, Ernesto Valverde, berada di bawah tekanan apabila keciciran 11 mata daripada 12 perlawanan musim ini.

Barca berdepan bulan yang sukar apabila bakal berdepan Borussia Dortmund dan Inter dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) di samping akan berdepan Atletico Madrid dan Real bagi saingan liga.

Suarez, bagaimanapun, menyambut baik cabaran yang menanti mereka.

"Ia merupakan bulan yang baik, Barcelona bakal menghadapi perlawanan berkualiti. Anda perlu bersedia secara mental dan fizikal. Mungkin kami tidak mampu memenangi setiap perlawanan tetapi kami akan melakukan yang terbaik."