Lionel Messi tidak mendambakan lebih banyak wang di Barcelona dengan calon presiden, Joan Laporta, menegaskan ia adalah kerana bintang itu menagih sebuah pasukan mantap yang mampu menghadirkan kejayaan.

Hala tuju Messi masih belum pasti dan dia terus menjadi topik hangat selepas cuba meninggalkan gergasi LaLiga itu sebelum sepak mula kempen musim ini.

Pemenang enam Balon d'Or itu sempat dikaitkan dengan Manchester City sebelum memutuskan untuk kekal di Sepanyol, namun dia juga terus dikaitkan ke Paris Saint-Germain (PSG) and Inter.

Presiden sementara Barca, Carlos Tusquets, semalam berkata bintang Argentina itu sepatutnya dijual pada jendela perpindahan lalu untuk menampung masalah kewangan yang dicetuskan COVID-19.

Begitupun, Laporta -- yang akan merebut jawatan tertinggi kelab itu pada 24 Januari 2021 susulan peletakan jawatan Josep Maria Bartomeu, Oktober lalu -- tampil mengulas mengenai situasi Messi.



"Leo mahukan Barcelona," katanya – yang pernah dipilih sebagai presiden dari 2003 hingga 2010 -- kepada Radio Marca dan COPE.

"Saya mahu mengembalikan kegembiraannya. Ia bukan soal wang, ia mengenai membentuk sebuah pasukan kompetitif.

"Leo telah diperdaya dan ia sesuatu kerugian yang besar. Dia adalah juara dan tidak tahan untuk melihat pasukan lawan menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL).

"Kali terakhir saya bercakap dengannya adalah pada Oktober lalu. Saya sangat bersyukur atas apa yang telah dilakukannya untuk Barcelona. Saya mengenalinya sejak dia berusia 16 tahun lagi dan dia merupakan insan luar biasa.

"Kami saling menghargai dan menghormati. Kami sendiri perlu terbabit untuk membentangkan idea kepadanya."

Menjelang kunjungan ke Cadiz awal pagi Ahad ini, Messi telah menyumbat empat gol dalam sembilan penampilan LaLiga musim ini untuk jumlah tujuh jaringan.

"Leo mendambakan sebuah pasukan yang penuh dengan keseronokan," tambah Laporte.

"Sebuah pasukan seperti Barcelona perlukan semangat berpasukan di dalam bilik persalinan. Saya pernah menyandang jawatan presiden Barcelona dan saya tidak mahu mengeruhkan lagi situasi pasukan dalam keadaan sulit ini."