BARCELONA 4 DEPORTIVO ALAVES 1

Pengurus Barcelona, Ernesto Valverde, melaungkan penghormatannya buat Lionel Messi selepas ayam tambatannya itu memperlihatkan kemampuan untuk memberikan impak dengan jaringan gemilangnya ketika menewaskan Deportivo Alaves 4-1 di Camp Nou lewat malam tadi.


Walaupun jaringan awalnya dibatalkan pengadil, ia tidak merendahkan standard Messi dalam perlawanan itu.

Dan walaupun Barca mendahului 2-0 dalam babak pertama, Alaves mengecilkan jurang itu pada awal babak kedua sebelum Messi menjaringkan golnya yang ke-50 buat kelab itu sepanjang musim ini.

Biarpun dikawal ramai pemain lawan, Messi masih mampu melepaskan sepakan kencang dari jarak 25 ela yang tepat ke jaring lawan sebelum luis Suarez, yang mencetuskan tiga jaringan pertama, menjaringkan gol keempat menerusi sepakan penalti.

Walaupun Suarez lebih menyerlah dalam perlawanan itu, Valverde menumpukan kepada Messi dalam sidang media selepas perlawanan dengan menjelaskan impak yang dibawa pemain itu ketika Barca seakan-akan kehilangan punca.

"Setiap perlawanan memerlukan segala-galanya.

"Apabila mereka menjaringkan gol, mereka semakin yakin dan boleh menyamakan kedudukan.

"Tetapi Messi menjaringkan gol yang gemilang dan keadaan berubah selepas itu.

"Saya fikir kami bermain dengan baik, saya boleh katakan yang aksi dalam babak pertama amat baik.

"Kemudian, kami kehilangan momentum pada permulaan babak kedua.

"Kami semakin yakin selepas memperoleh gol ketiga.

"Perkara itu terjadi dengan adanya Messi. Kita sentiasa melihatnya.

"Perkara seperti itu boleh terjadi dan kami mempunyai kelebihan besar kerana memiliki Messi.

"Leo hadir dan boleh menjaringkan gol dari mana-mana tempat," katanya.

Dengan kemenangan itu, Barca berkemungkinan akan menamatkan tahun ini di puncak LaLiga dengan seteru terdekat, Real Madrid, memerlukan kemenangan besar ke atas Athletic Bilbao untuk memintas mereka.