Lionel Messi adalah bintang dalam generasi terkini dan pemain terbaik sepanjang zaman, kata pemain tengah Manchester City dan Jerman, Ilkay Gundogan.

Legenda Barcelona itu merupakan pemenang lima kali Ballon d'Or, sama seperti Cristiano Ronaldo, dan menrupakan salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman.

Apabila perdebatan melibatkan Messi dan Ronaldo, Gundogan tidak ragu-ragu bahawa penggempur Argentina itu merupakan pemain terbaik.

"Messi adalah pemain terbaik dunia," katanya.

"Bagi saya, dia memiliki kebolehan istimewa. Dia mempunyai bakat dan sentiasa dapat menunjukkannya di atas padang. Dia sentiasa memiliki naluri untuk membuat keputusan tepat.

"Messi menggunakan kepantasannya menentang lawan. Dia mempunyai teknik penyudah yang hebat. Dalam kebanyakan pemain, tiada siapa yang mempunyai kualiti sepertinya.

"Dia merupakan pemain terbaik dalam generasi terkini dan juga bintang bola sepak terbaik sepanjang zaman. Saya harap dapat menyaksikannya beraksi dalam beberapa tahun lagi."

Messi terus menyinar bersama Barca musim ini, menjaringkan sembilan gol dalam 11 perlawanan bagi semua kejohanan.