Bintang Barcelona, Lionel Messi, bercakap mengenai makna Ballon d'Or tetapi menegaskan anugerah individu hadir selepas kejayaan pasukan.

Messi, 32, merupakan pemenang lima kali anugerah itu selepas meraihnya pada 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2015.

Hanya Cristiano Ronaldo telah memenangi anugerah tersebut dengan jumlah sama dan Messi berkata ia merupakan satu penghormatan besar walaupun mengingatkan bahawa rakan sepasukannya merupakan kunci kepada kejayaan itu.

"Ia satu penghargaan yang indah dan paling menyerikan adalah sewaktu meraihnya buat kali pertama," katanya.

"Ia sesuatu yang hadir daripada kolektif. Tanpa meraih segala kejayaan secara kolektif, saya tidak mampu mendapatkan anugerah individu."

Messi sekali lagi menjadi pilihan untuk meraih Ballon d'Or tahun ini selepas mengharungi tahun 2019 dengan gemilang bersama Barca.

Dalam masa sama, dia menegaskan anugerah itu yang diraih bagi edisi 2010 menjadi pilihannya selepas mengungguli saingan bersama bekas rakan sepasukannya di Barca, Andres Iniesta dan Xavi.

"Gambar tiga calon untuk Ballon d'Or, ia sangat istimewa kerana melambangkan persahabatan kami," tambahnya.

"Bersama dalam satu kelab sama untuk tempoh yang lama, ketiga-tiganya mengharungi kehidupan yang sama dalam karier dan ia istimewa untuk kelab.

"Ia memberi makna tentang kebenaran dan sangat meyakinkan."

Barcelona, yang kini menduduki tangga teratas LaLiga, bakal menyambung aksi dengan kunjungan ke Leganes malam ini.