Neymar bakal menjadi pemain terbaik dunia pada masa akan datang menerusi bantuan Lionel Messi, kata bekas pemain antarabangsa Brazil, Mazinho.

Neymar menduduki tempat ketiga ketika Cristiano Ronaldo dianugerahkan Ballon d'Or pada tahun 2015 dengan Lionel Messi menduduki tempat kedua.

Pemain berusia 24 tahun itu -- yang turut disenarai pendek musim ini -- berjaya mengemudi Brazil untuk merangkul pingat emas dalam Sukan Olimpik.

Mazinho, pemenang Piala Dunia 1994, percaya akan tiba masanya untuk Neymar dinobat sebagai yang terbaik dunia.

"Neymar akan menjadi pemain terbaik dunia dalam masa terdekat," dia memberitahu Globo Esporte.

"Setiap pemain yang hebat akan membantu pemain yang hebat. Messi telah membantu Neymar dalam pelbagai aspek dan ketika ini Neymar telah pun membuktikan dia berada dalam kelompok itu.

"Messi akan membantu dia menjadi pemain terbaik dunia."

Neymar turut menjadikan dirinya selaku tonggak Brazil dalam saingan kelayakan Piala Dunia ketika ini apabila sudah pun menyumbang empat gol.

"Dia merupakan pemain paling berbakat pernah dilahirkan Brazil," katanya.


"Dia bakal menjadi pemimpin dalam Piala Dunia 2018 nanti."