Messi aset kepada Barca, Argentina -- Xavi

Oleh Penulis Jemputan 6 Oktober 2017 558
Messi aset kepada Barca, Argentina -- Xavi
Pemegang Ballon d'Or lima kali, Lionel Messi, merupakan pemain yang sangat berharga untuk Barcelona dan negaranya, Argentina, kata bekas rakan sepasukan, Xavi.

Xavi merupakan sebahagian daripada era emas bersama-sama dengan Messi di bawah kendalian Pep Guardiola di Camp Nou, apabila meraih 25 trofi sebelum mengambil keputusan untuk berdepan cabaran baru bersama Al Sadd.

Status Messi kekal sebagai satu fenomena global dan dia gembira kerana berjaya meraih kejayaan pada peringkat domestik, memenangi lapan kejuaraan LaLiga, empat Liga Juara-Juara (UCL) dan lima gelaran Copa del Rey bersama Barca.

Sebaliknya, ia merupakan satu kisah yang menyedihkan buat Messi bersama Argentina, apabila tewas dalam tiga final Copa America dan gagal untuk menjulang Piala Dunia pada 2014 selepas tewas kepada Jerman.

Messi sering dipersoalkan kerana kegagalannya  mengulangi kejayaan bersama Barca untuk negaranya tetapi Xavi berasakan kedua-duanya harus menghargainya sebagai aset yang mereka miliki.

"Barcelona dan Argentina akan bergelut jika Messi tidak menerima bola," kata Xavi.

"Dia perlu menjadi tunjang pasukan, dia merupakan seorang pemain yang penting.

"Messi adalah pemain yang mampu mengubah nasib pasukan," katanya.

Argentina, yang ketika ini layak ke aksi play-off kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan, akan menerima kunjungan Peru pada Khamis sebelum berkunjung ke Ecuador pada Selasa
dalam usaha untuk meraih kedudukan keempat untuk layak ke Piala Dunia Russia 2018 secara automatik.

Xavi percaya Jorge Sampaoli, yang mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih pada Mei lalu, mampu mengemudi Argentina untuk menjulang Piala Dunia.

"Saya melihat mereka berupaya untuk menjuarai Piala Dunia.

"Benar, mereka dalam kedudukan tertekan, iaitu kelayakan ke Piala Dunia dari zon Amerika Selatan.

"Tetapi jika mereka beraksi di Russia, mereka akan menjadi antara pasukan pilihan berdasarkan pemain-pemain yang mereka miliki dan mempunyai seorang jurulatih yangberpengalaman," katanya lagi.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen