Ketua pasukan Argentina, Lionel Messi, akan kembali daripada penggantungan bulan depan, jelas pengurus pasukan, Lionel Scaloni.

Messi dikenakan penggantungan selama tiga bulan daripada terbabit dalam bola sepak antarabangsa sejak Ogos lalu gara-gara menuduh Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) mengamalkan "rasuah" ketika Copa America.

Setelah dibuang padang secara kontroversi dalam kemenangan play-off tempat ketiga di antara Argentina dan Chile, Julai lalu, Messi turut tidak muncul untuk mengambil pingatnya dan pemain itu kemudian menjelaskan bahawa dia tidak mahu "menjadi sebahagian daripada rasuah, ini satu tindakan yang tidak menghormati seluruh kejohanan Copa".

Messi turut membidas pengadil kejohanan itu selepas kekalahan Argentina kepada tuan rumah, Brazil, dalam aksi separuh akhir sebelum menuduh pengadil dan video bantuan pengadil (VAR) akan memihak kepada pemain kendalian Tite itu ketika menentang Peru dalam final yang menyaksikan Selecao menang 3-1.

Sehubungan itu, ketua pasukan kebangsaan tersebut terlepas perlawanan persahabatan dengan Chile, Mexico serta Jerman dan kelibatnya dijangka akan mula dipertaruhkan untuk menghadapi Ecuador bulan depan.

Ditanya mengenai Messi, Scaloni memberitahu wartawan: "Messi tiada di sini kerana penggantungan.

"Sergio Aguero tidak ada di sini kerana dia sedang menghadapi masalah dan tidak dapat berlatih dengan 100 peratus bersama kelabnya.

"Pastinya kedua-duanya akan berada di sini bulan depan."

Argentina seri 2-2 dengan Jerman, Khamis lalu -- perlawanan yang menyaksikan skuad Albiceleste itu memadamkan defisit dua gol dalam babak kedua.

Scaloni telah menamakan barisan pemain yang akan diturunkan untuk menghadapi Ecuador di Estadio Manuel Martínez Valero, Sepanyol, malam ini yang terdiri daripada Agustin Marchesin, Juan Foyth, Jerman Pezzella, Walter Kannemann, Marcos Acuna, Nicolas Gonzalez, Rodrigo De Paul, Leandro Paredes, Lucas Ocampos, Lucas Alario dan Lautaro Martinez.

"Ideanya adalah untuk bermain secara menyerang dengan menampilkan pemain yang boleh sampai ke kawasan penalti," kata Scaloni.

"Kami percaya bahawa ini adalah cara yang betul. Kami mengambil keputusan ini setelah memikirkan apa yang terbaik buat pasukan."