Messi: Ada pihak tidak mahu Neymar kembali ke Barcelona 

Oleh Staff Writer 19 Oktober 2019 1218
Messi: Ada pihak tidak mahu Neymar kembali ke Barcelona 
Lionel Messi percaya kepulangan penggempur Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, ke Barcelona adalah rumit kerana sesetengah pihak tidak mahu dia kembali ke kelab itu.

Neymar cuba menjayakan langkah kepulangan ke Camp Nou dalam jendela perpindahan sebelum ini, hanya dua tahun selepas menyertai pasukan Ligue 1 itu dengan rekod perpindahan bernilai €222 juta (RM1 bilion).

Hubungan tegang di antara kedua-dua kelab itu dikatakan telah mempengaruhi perbincangan perpindahan berkenaan, namun pemain antarabangsa Brazil itu kekal menjadi pemain PSG.

Messi, yang pernah membentuk trio serangan di samping Neymar dan Luis Suarez, berkata sehingga kini mereka masih lagi berhubung tetapi bintang Argentina itu tidak pasti sekiranya gandingan itu boleh kembali dihidupkan di Barca. 

"Kami sering bercakap dan bersembang dengan Luis Suarez," kata Messi kepada stesen radio Buenos Aires Metro 95.1.

"Isu kepulangannya adalah rumit. Yang pertama, kerana adalah sukar untuk melihatnya pergi dan yang keduanya, cara pemergiannya. 

"Ada orang di kelab ini dan ahli pengarahnya yang tidak mahu dia pulang. Jika ia adalah disebabkan sukan, maka Neymar adalah salah seorang yang terbaik di dunia tetapi saya faham ia melibatkan faktor yang lain."

Messi, yang menerima Anugerah Kasut Emas Eropah buat kali keenam minggu ini, baru-baru ini mengumumkan bahawa dia berhasrat untuk mengakhiri kerjayanya di Barcelona.

Bagaimanapun, tidak seperti ikon kelab, Andres Iniesta, dia menolak untuk menandatangani kontrak seumur hidup.

"Ia telah dibincangkan beberapa ketika dulu, seperti yang dilakukan dengan Iniesta dan yang lain-lain," katanya.

"Saya tidak mahu mengikat kontrak seperti itu kerana saya tidak tahu bagaimana perasaan saya kelak. Saya tidak mahu terikat dengan kontrak sekiranya saya tidak bagus. 

"Saya akan bersaing selagi saya berasa baik secara fizikalnya tetapi adalah jelas saya akan kekal di sana seumur hidup."

Messi juga bercakap mengenai persaingannya dengan Cristiano Ronaldo, yang saling berjuang untuk pasukan dan anugerah individu untuk sekurang-kurangnya selama sedekad ketika penyerang Portugis itu di Real Madrid.

Ronaldo berpindah ke Juventus pada 2018 dan Messi mengakui pertembungan 'El Clasico' di antara Barca dengan Madrid hilang seri akibatnya.

"Ya, ia sesuatu yang bagus apabila dia berada dalam liga Sepanyol," katanya. 

"Ia menjadikan 'El Clasico' lebih istimewa dan memberikannya lebih banyak nilai."

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen