Lionel Messi mempunyai hak sepenuhnya untuk berasa berang dengan Eric Abidal, kata bekas pemain Barcelona, Rivaldo.

Sepanjang minggu ini, situasi tegang kian memuncak di Camp Nou melibatkan aksi di atas padang serta isu berkaitan kapten dan setiausaha teknikal pasukan utama.

Messi menggunakan laman sosial untuk mengkritik Abidal selepas pengarah sukan kelab itu mengecam beberapa pemain Barca yang dilihat menjadi punca pemecatan Ernesto Valverde.

Messi berasakan Abidal, bekas rakan sepasukannya di Barca, memburukkan pasukannya menerusi kenyataan terbuka mempersoalkan usaha mereka tanpa memberikan nama spesifik.

Isu itu menyebabkan wujud dakwaan Messi bakal menggunakan pilihan untuk menamatkan kontraknya penghujung musim ini dalam usaha untuk meninggalkan kelab secara percuma walaupun pengurus Manchester City, Pep Guardiola, menolak sebarang andaian dia akan cuba untuk mendapatkan khidmat bekas anak buahnya itu.

Bagaimanapun, pemenang Ballon d'Or 1999, Rivaldo, berpendapat Messi sentiasa akan mempertahankan rakan sepasukannya susulan kenyataan Abidal itu.

"Reaksi Messi menerusi laman sosial peribadinya pada Rabu lalu mengkritik Abidal adalah sesuatu yang normal," katanya.

"Messi mempunyai hak sepenuhnya dalam dunia untuk marah dengan Abidal tentang cara dia mengkritik tahap profesional sesetengah pemain dalam latihan dan dia tidak menyebut nama secara spesifik, terutamanya.

"Ia mencetuskan persoalan dalam seluruh pasukan. Sukar untuk bercakap tentang situasi ini dari luar tetapi Messi cuba untuk mempertahankan rakan sepasukannya serta diri sendiri, mengekalkan reputasi dimiliki dan dalam masa sama, mahu tahu pemain yang dimaksudkan Abidal.

"Jelas sekali Valverde kini bukan masalah terbesar buat kelab. Barca adalah pihak yang paling rugi.

"Abidal dan Messi patut duduk berbincang secara baik. Abidal dalam situasi sukar, lebih-lebih lagi kerana pemain yang memberikan reaksi itu adalah kapten Barca dan bintang besar, Messi.

"Kembali ke landasan kemenangan akan meredakan ketegangan ini."

Awal minggu ini, Abidal turut berkata tidak mustahil untuk Barca membawa pulang Neymar, perpindahan yang dilaporkan menjadi keinginan Messi sejak tahun lalu.

Rivaldo berpendapat Neymar, yang menyertai Paris Saint-Germain (PSG) menerusi rekod dunia bernilai EUR222 juta (RM1.06 bilion) pada 2017, mampu menjadi penambahan terbaik untuk mengurangkan beban Messi.

"Barca perlu mencari pemain yang memberikan perbezaan sewaktu Messi tidak beraksi," tambah Rivaldo.

"Pihak kelab perlu mencari pemain yang boleh menemani Messi atau menggantikannya apabila diperlukan dan bagi saya, Neymar adalah pemain itu.

"Barca patut memikirkan untuk mendapatkannya semula. Bukan tanggungjawab kelab apabila Neymar meninggalkan Barcelona beberapa tahun lalu.

"Ia sudah berlalu dan diharapkan sudah tiba perbincangan untuk mendapatkannya semula dan mengharungi tahun terbaik di Camp Nou."



Editor: Nafis Abdullah