Penyerang Napoli, Dries Mertens, mengakui dia pernah terfikir mengenai hidupnya jika menyertai Barcelona selepas gergasi Catalan itu berusaha untuk mendapatkan khidmatnya pada permulaan tahun ini.

Pemain kebangsaan Belgium itu, yang telah menjaringkan 10 gol dalam 13 penampilan Serie A musim ini untuk membantu Napoli mendahului liga, menegaskan dia gembira untuk kekal di Stadio San Paolo.

Mertens berkata dia memilih untuk tidak menyertai Barca kerana persaingan yang sengit mendapatkan tempat di Nou Camp tetapi penghijrahan Neymar ke Paris Saint-Germain (PSG) membuatkan dirinya terfikir mengenai keputusannya.

"Setiap masa anda akan dapat berasakan mampu melakukan sesuatu yang berbeza," kata Mertens.

"Saya jarang bercuti di tempat yang sama tetapi pada ketika ini, penghijrahan bukan dalam perancangan saya.

"Terdapat minat daripada Barca sebelum ini tetapi saya akan menjadi pemain sokongan kepada Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar. Jadi, selepas mengharungi musim yang baik di Napoli, saya tidak mahu ke bangku simpanan walaupun ia adalah Barcelona.

"Saya mengambil keputusan untuk menandatangani kontrak dan Neymar mengambil keputusan untuk menyertai PSG.

"Kadang-kala saya terfikir, bagaimana dengan diri saya sekarang di Barcelona? Saya suka memikirkan mengenai hal ini, saya mungkin dapat beraksi di sana," tambahnya.

Mertens, yang telah beralih menjadi penyerang di bawah kendalian Maurizio Sarri, meledak 28 gol dalam saingan Serie A selepas Napoli mengakhiri saingan di tempat ketiga serta mempamerkan persembahan yang cemerlang dalam saingan di Eropah.