NAPOLI 2 LIVERPOOL 0

Dries Mertens berpesan kepada Napoli bahawa mereka harus meneruskan rentak kemenangan selepas membenam Liverpool 2-0 dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Buat musim kedua berturut-turut, skuad kendalian Jurgen Klopp itu rebah di Stadio San Paolo tanpa menjaringkan gol.

Bagaimanapun, Partenopei tetap gagal meloloskan diri daripada peringkat kumpulan dalam edisi lalu biarpun mencatat kemenangan 1-0 ke atas Liverpool, yang akhirnya muncul juara.

Sepakan penalti Mertens memberikan Napoli gol pendahuluan pada lewat perlawanan sebelum kesilapan janggal Virgil van Dijk memastikan bekas penyerang Tottenham, Fernando Llorente, mengesahkan kemenangan pada masa pemberhentian.

"Kami memberikan segala-galanya dan banyak berlari," kata pemain Belgium itu kepada Sky Sport Italia.

"Apabila anda meraih tiga mata pada saat-saat akhir permainan, segalanya berasa baik.

"Ia tidak membawa apa-apa makna untuk mengalahkan juara bertahan kecuali kami dapat meneruskan kemaraan.

"Kami melihat (seteru selebihnya dalam Kumpulan E) Salzburg mengalahkan Genk 6-2, mereka juga merupakan pasukan yang mantap, jadi kami harus melakukannya dengan baik dalam perlawanan seterusnya.

"Musim lalu, kami juga berjaya dan mengalahkan Liverpool 1-0 di sini, saya rasa kami membuat persediaan dengan baik kerana kami tahu apa yang perlu dilakukan, kami tidak banyak menguasai bola dalam babak pertama tetapi kami mengerah segala kudrat.

"Musim lalu, kami tewas di Salzburg dalam kempen Liga Europa, oleh itu kami tidak mahu menganggap kemenangan ini sebagai jaminan. Hujung minggu ini, kami juga akan menghadapi Lecce yang mengalahkan Torino sebelum ini."

Ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson, akur pasukannya harus mengatasi kesilapan di bahagian pertahanan setelah hanya merekodkan satu perlawanan tidak dibolosi dalam lapan aksi kompetitif musim ini.

"Dalam babak pertama, saya berasakan kami menghasilkan beberapa gerakan menarik," katanya kepada BT Sport.

"Kami hanya kalah dalam soal sentuhan terakhir. Napoli merupakan sebuah pasukan yang bagus dan kami perlu bertahan sebagai sebuah pasukan dan saya berpendapat kami telah melakukannya.

"Kesilapan yang menyaksikan kami dibolosi perlu diatasi. Secara keseluruhan, kami boleh beraksi dengan lebih baik lagi, kami harus bertanggungjawab dan mencuba serta bangkit dengan cara yang betul."