Dries Mertens mungkin akan terlepas aksi di laman sendiri menentang Chievo malam ini selepas mengalami kecederaan ketika latihan, kata pengurus Napoli, Carlo Ancelotti.

Ancelotti menemui media semalam, sehari sebelum mengemudi pasukannya melayan kunjungan lawan yang masih belum memenangi sebarang perlawanan dan menduduki tangga terbawah Serie A.

Dalam masa sama, Napoli kini berada di tangga kedua liga dan dijangka mudah meraih tiga mata tetapi mereka harus melakukannya tanpa kelibat Mertens yang kini berkongsi kedudukan penjaring terbanyak liga.

"Mertens mengalami sedikit kecederaan ketika sesi latihan terakhir dan kami akan meneliti tahapnya," kata Ancelotti.

"Kami berdepan beberapa masalah dalam sesi latihan melibatkan Simone Verdi dan Amin Younes tetapi tiada yang serius.

"Kami akan mengharungi deretan perlawanan dan mahu memulakannya dengan baik, bermula dengan aksi bertemu Chievo. Sasaran kami adalah merapatkan jurang mata dalam carta Serie A dan melangkah ke pusingan seterusnya dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah."

Arkadiusz Milik, penjaring gol buat Poland ketika aksi antarabangsa, dijangka akan membarisi jentera serangan Napoli jika Mertens tidak dapat diturunkan.