Bekas penyerang Milan dan pengurus Belanda, Marco van Basten, berkata sesiapa yang percaya Cristiano Ronaldo adalah lebih baik daripada Lionel Messi tidak memahami apa-apa tentang bola sepak.

Ronaldo dan Messi dianggap sebagai dua pemain terbilang sepanjang masa, namun siapakah di antara mereka yang paling gemilang sering diperdebatkan.

Ketua pasukan Barcelona itu telah dinobatkan enam gelaran Ballons D'Or berbanding lima oleh bintang Juventus berkenaan selain masing-masing turut meraih deretan gelaran termasuk anugerah individu.

Begitupun, Van Basten, yang diangkat sebagai pemain legenda Belanda, mempunyai gambaran jelas mengenai siapa yang difikirkannya merupakan pemain terunggul.

"Cristiano Ronaldo adalah pemain hebat tetapi buat mereka yang mengaku dia lebih baik daripada Messi, tentunya tidak mengerti apa-apa tentang bola sepak atau mengatakannya kerana mempunyai niat jahat," kata Van Basten kepada Corriere della Sera.

"Messi adalah unik, sukar ditandingi dan tidak dapat ditandingi.

"Pemain sepertinya akan muncul pada setiap 50 atau 100 tahun.

"Ketika kanak-kanak, dia sudah berada dalam kalangan pemain yang pintar."

Ronaldo menikmati musim yang baik dan pada usia 35 tahun, dia masih mampu meledak 25 jaringan.

Ketua pasukan Portugal itu menyumbat 21 gol dalam kancah Serie A pertamanya di Turin dan telah menyamai angka itu melalui 21 perlawanan musim ini.

Sementara itu, Messi pula telah merakam 23 gol dalam semua kejohanan bersama juara LaLiga, Barcelona, pada 2019-20.

Menjelang pertemuan 'El Clasico' di antara kedua-dua gergasi Sepanyol itu pada awal pagi Isnin ini, Messi telah meledak 18 gol dalam 20 penampilan liga.