BRISTOL CITY 2 MAN UNITED 1

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, mendakwa Bristol City bernasib baik selepas mereka menjaringkan gol pada penghujung perlawanan untuk menundukkan juara bertahan Piala Liga Inggeris (EFL) itu 2-1, awal pagi tadi, dan seterusnya layak ke peringkat separuh akhir.


Skuad bimbingan Mourinho itu gagal menguasai permainan di Ashton Gat, walaupun mempertaruhkan Zlatan Ibrahimovic dan Marcus Rashford pada babak pertama untuk merobek gawang lawan.

City, yang lebih garang melancarkan asakan, memecah kebuntuan pada awal separuh masa kedua melalui jaringan menakjubkan Joe Bryan sebelum Ibrahimovic menyamakan kedudukan melalui sepakan percuma.

Ketika permainan seakan-akan akan dilanjutkan ke masa tambahan, Korey Smith meledak gol pada minit terakhir untuk menghantar City ke separuh akhir.

Begitupun, Mourinho menganggap pasukan tuan rumah itu boleh dikira bernasib baik.

"Saya fikir mereka agak bertuah," katanya kepada Sky Sports. "Tetapi, mereka berjuang untuk tuah itu.

"Mereka memenangi perlawanan seketika tatkala kami tidak memberi sebarang reaksi. Mereka menang dalam perlawanan terbaik kami tatkala semua orang menunggu detik gol kami.

"Saya katakan mereka bernasib baik, percubaan kami dua kali mengenai tiang.

"Tetapi mereka berjuang dengan cemerlang seperti ia adalah permainan yang menentukan hidup dan mati mereka, barangkali juga.

"Ia adalah hari yang indah untuk bola sepak. Saya tidak mahu mengatakan bahawa mereka bernasib baik sebagai perkara utama.

"Kegigihan yang mereka ada adalah aset terbesar mereka, tidak hanya fizikal tetapi juga mental. Bagi sesetengah daripada kita, ia ibarat sehari lagi di pejabat, tetapi bagi orang lain bukan itu yang dimahukan mereka.

"Bagi mereka, ini adalah hari yang besar, mereka agak bernasib baik dan penampilan kami tidaklah begitu buruk. Selepas gol pada separuh masa kedua, kami adalah pasukan terbaik dan kami cuba menang sepanjang 90 minit.

"Mereka sangat bernasib baik untuk menang tetapi sekali lagi, saya tidak mahu mengatakan mereka bernasib baik sebagai perkara utama, kami tahu bagaimana untuk kalah dan menang.

"Kami mengucapkan tahniah dan berharap mereka beraksi baik dalam separuh akhir," katanya lagi.

Bristol akan berhadapan dengan Manchester City dalam separuh akhir.