Menteri Sukan Itali, Vincenzo Spadafora, mengulangi kenyataan bahawa latihan kelab Serie A masih belum boleh bersambung sebelum 18 Mei ini walaupun pihak kerajaan sudah membenarkan pemain kembali ke pangkalan latihan kelab mulai hari ini.

Satu kenyataan daripada Kementerian Perumahan Itali semalam menyatakan bahawa atlet termasuk mereka yang bermain untuk acara berpasukan dibolehkan kembali menjalankan aktiviti sukan dengan syarat mereka menjaga penjarakan sosial.

Sabtu lalu, Sassuolo menjadi kelab Serie A pertama yang mengesahkan mereka akan kembali berlatih sejak musim ini tertangguh akibat krisis koronavirus baru (Covid-19).

Kelab-kelab lain kemudian menuruti jejak itu termasuk Inter yang akan membuka pusat latihan mereka di Appiano Gentile kepada pemain skuad utama secara sukarela.

"Aktiviti kompetitif akan ditentukan dan dibincangkan segera setelah prosedur amalan operasi standard (SOP) yang bersesuaian ditetapkan," kata Inter dalam satu kenyataan.

"Semua kawasan lain di pusat latihan akan tetap ditutup kecuali kemudahan kesihatan dan teknikal yang diperlukan demi memastikan persekitaran yang selamat dan menjaga atlet."

Juventus -- yang menduduki tangga teratas apabila mempunyai pendahuluan satu mata dengan pesaing terdekat, Lazio -- telah meminta pemain mereka yang kini berada di luar negara supaya kembali ke Itali untuk membolehkan mereka menjalani kuarantin sebelum sesi latihan kembali dibenarkan.

Namun, Spadafora menyatakan bahawa sesi latihan penuh tidak akan dibenarkan sebelum tempoh kawalan pergerakan negara itu berakhir pada 17 Mei depan.

"Saya terbaca banyak perkara pelik tetapi tiada perubahan berbanding dengan apa yang selalu saya katakan mengenai bola sepak: latihan pasukan tidak dibenarkan disambung sebelum 18 Mei depan manakala soal perlawanan belum benar-benar dibincangkan lagi," tulisnya di Facebook.

"Buat masa ini, maaf tetapi saya akan kembali berurusan dengan semua pusat sukan termasuk sukan lain yang mesti dibuka secepat mungkin!"

Itali muncul salah sebuah negara yang paling menderita dengan krisis kesihatan itu apabila lebih 28.000 kematian direkodkan berkaitan Covid-19.