Menteri Sukan Itali, Vincenzo Spadafora, berharap kesemua kelab Serie A dapat kembali menjalani latihan pada 4 Mei depan.

Saingan Serie A ditangguhkan pada bulan lalu sambil terdapat beberapa perlawanan diadakan secara tertutup susulan wabak coronavirus yang telah meragut lebih 145,500 nyawa di seluruh dunia.

Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC) telah pun menyatakan bahawa saingan itu tidak akan disambung sehingga segala aspek keselamatan dan keselamatan terjamin.

Kerajaan Itali melanjutkan tempoh kawalan pergerakan serta aktiiti luar sehingga 3 Mei depan walaupun terdapat laporan bahawa beberapa kelab yang mahu latihan dimulakan selepas itu, saingan disambung di penghujung bulan sama dan liga ditamatkan pada Julai nanti.

Mengenai kemungkinan untuk menyambung sesi latihan pada bulan depan, Spadafora memberitahu wartawan: "Beberapa minggu lagi akan diketahui perkembangan aspek kesihatan, menilai jika kami dapat kembali mengharungi kempen sukan di semua peringkat.

"Kami harap dapat mengesahkan tarikh 4 Mei untuk kembali berlatih. Saya mahu kami kekalkan tarikh itu walaupun ia dijalankan secara tertutup.

"Pada waktu ini, apa yang penting adalah keselamatan dan kesihatan semua penduduk."

Juara bertahan, Juventus, kini satu mata mengatasi Lazio di puncak liga selepas 26 perlawanan sebelum saingan ditangguhkan.

Itali -- yang masih dalam tempoh darurat -- telah mencatat lebih 22,100 kes kematian dan sekurang-kurangnya 168,900 terlibat dengan wabak coronavirus.