Pertahanan Manchester City, Benjamin Mendy, dijangka terpaksa disisihkan dalam tempoh panjang selepas mengalami kecederaan lutut ketika menentang Crystal Palace dalam saingan liga, Sabtu lalu.

Perkara itu disahkan pengurus pasukan, Pep Guardiola, dan bekas pemain Monaco itu akan diterbangkan ke Barcelona untuk bertemu pakar lutut, Dr Ramon Cugat.

Susulan kemenangan 2-0 ke atas Shaktar Donetsk dalam saingan Kumpulan F, Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi, yang menyaksikan Fabian Delph mengisi kekosongan Mendy di bahagian kiri, Guardiola menjelaskan situasi Mendy:

"Ya, dia bakal tersisih selama beberapa bulan. Dalam masa dua hari lagi, Mendy akan ke Barcelona dan kami akan mengetahui lebih lanjut mengenai keadaaannya.

"Kami akan menunggu sehingga Khamis tetapi saya pasti ia pasti melibatkan tempoh masa yang lama," kata Guardiola.

Kecederaan yang dialami Mendy mempunyai persamaan dengan rakan sepasukan, Ilkay Gundogan, yang terpaksa berehat panjang pada Disember tahun lalu.

"Ia sangat mengecewakan Mendy, sama seperti apa yang dialami Gundogan pada tahun lalu, saya sedih dengan keadaannya.

"Kami mengalami kehilangan besar. Dia seorang pemain yang unik," katanya lagi.